Selain bintang seberang, Kijang Hijau bakal ikat 'klon Nyemar' isi kekosongan pemain import


  • Podium
  • Isnin, 23 Jan 2023

KUFC bakal mengumumkan dua lagi pemain import mereka tidak lama lagi bagi memenuhi sembilan kuota import yang mereka dibenarkan untuk musim ini. 

KELANTAN United FC (KUFC) bakal mengumumkan dua lagi pemain import mereka tidak lama lagi bagi memenuhi sembilan kuota import yang dibenarkan musim ini.

Perkara itu diumumkan kelab menerusi laman media sosial rasmi Kelantan United Football Club pada Isnin, namun identiti kedua-dua pemain tersebut masih belum didedahkan sekali gus menjadi tanda tanya pada penyokong fanatiknya.

"Tiga sudah disahkan. Baki dua pemain akan tiba dalam masa terdekat. Kedua pemain juga berpengalaman dan masih muda. Nantikan ketibaan mereka tidak lama lagi," demikian catatan tertera.

Hasil pemerhatian Majoriti, pemilik kelab turut memberi hint pada peminat bahawa pemain yang bakal dibawa masuk nanti merupakan pemain kebangsaan dan penyerang dari Asean.

Kemasukkan kedua-dua pemain adalah seiring dengan misi kelab untuk memantapkan lagi kekuatan skuad Kijang Hijau bagi menghadapi saingan Liga Super 2023.

Sebelum ini, pasukan tersebut sah mendapatkan khidmat pemain import Morgaro Lima Gomis, Ernist Batyrkanov dan Yan Victor Silva Paixão.

photo1674468898

Pemain import baharu KUFC, (dari kiri) Morgaro Lima Gomis, Ernist Batyrkanov dan Yan Victor Silva Paixão. — Facebook

Pada masa sama, ketua jurulatihnya, Tomas Trucha mempunyai misi untuk membuktikan kemampuan dirinya dalam arena bola sepak Malaysia selepas dipecat oleh Penang FC pertengahan musim lalu.

Mengemudi pasukan yang pertama kali menjejak kaki menyertai saingan Liga Super, Thomas memerlukan pemain yang mempamerkan corak permainan terbaik serta mempunyai semangat juang tinggi untuk menang dalam setiap perlawanan.

Antara pemain import yang menjadi buah mulut bakal mengisi kekosongan pemain import bagi kelab yang berpangkalan di Pantai Timur semenanjung tanah air ialah Ricky Richardo Kambuaya yang merupakan penyerang pasukan kebangsaan Indonesia.

Berusia 26 tahun, pemain ini mempunyai kelebihan dari segi fizikal selain mampu membuat hantaran tepat kepada rakan sepasukan.

Pada masa sama, pemain berusia 26 tahun ini juga sentiasa menjadi pilihan ketua jurulatih skuad Garuda, Shin Tae-yong untuk tampil dalam kesebelasan utama.

Ricky-Kambuaya-Sosok-Jendral-Lapangan-Tengah-Timnas-Indonesia

Penyerang Kebangsaan Indonesia, Ricky Richardo Kambuaya. — Agensi

Nama Ricky melonjak naik di persada sukan bola sepak di rantau Asia Tenggara setelah membantu Indonesia mara ke perlawanan akhir saingan Piala AFF Suzuki pada 2022.

Namun, pemain berketinggian 1.77 meter ini masih mempunyai baki kontrak bersama kelabnya, Persib Bandung sehingga tahun 2024 dan skuad Kijang Hijau perlu membayar yuran perpindahan sekiranya mahu membawa masuk pemain itu.

Seorang lagi pemain dikatakan peminat yang bakal mengisi kekosongan pemain import tersebut adalah pemain berasal dari Brazil.

Walaupun begitu identiti pemain tersebut tidak dinyatakan dan hanya diberi gelaran 'Klon Neymar'.

Kelab KUFC turut memaklumkan mereka hanya menggunakan lima pemain import pada musim ini untuk menimbangkan pasukan.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram