'Saya terpaksa jual rumah', pemain Sarawak akhirnya dedah keperitan hidup akibat tunggakan gaji


  • Podium
  • Isnin, 16 Jan 2023

Sarawak United FC dilaporkan masih belum membayar gaji pemain yang kini tertunggak selama empat bulan. — Facebook/Sarawak United

KENYATAAN pihak pengurusan kelab Sarawak United FC (SUFC) yang sudah melunaskan semua gaji pemainnya pada September lalu ternyata tidak benar selepas beberapa bekas pemain skuad Ngap Sayot mendedahkan perkara tersebut dalam satu temu bual bersama media tempatan baru-baru ini.

Seperti peribahasa, bangkai gajah tidak dapat ditutup dengan nyiru, satu persatu keburukan yang dilakukan pihak pengurusan tersebut terbongkar melalui temu bual yang diadakan secara maya itu.

Bekas penjaga gawangnya, Tauffiq Ar Rasyid Johar mendedahkan pihak SUFC sudah tiga bulan tidak membayar gaji.

"Isu ini bukanlah untuk mengaibkan siapa-siapa tetapi ini hak pemain. Macam saya, sudah tiga bulan tidak dibayar gaji dan mungkin ada pemain lain yang mempunyai tunggakan gaji sehingga empat bulan," katanya.

Menjelaskan secara lanjut, mereka hanya mendapat gaji pada bulan Februari, Mac dan Ogos dengan baki untuk tahun tersebut masih tidak diterima sehingga hari ini.

Pada masa sama, Tauffiq melihat tindakan SUFC itu sebenarnya 'membunuh' bakat pemain muda tempatan.

"Di Sarawak, ramai pemain yang berkualiti namun bila terjadi perkara seperti ini boleh membuatkan mereka hilang motivasi. Untuk makan dan pergi latihan, semua perlukan duit. Pemain muda ini memerlukan duit," katanya.

5a1304aa-8339-4352-97d7-33e95fc8222c

Tauffiq yang kini bermain untuk pasukan Negeri Sembilan FC berkata dia membuat pendedahan tersebut supaya bagi membela nasib pemain muda SUFC. — Facebook

Tambah pemain berusia 27 tahun itu, dia turut berkongsi pengalaman beberapa kali tidak dapat membayar sewa rumahnya sehingga 'dikejar' oleh tuan rumah.

"Bukan sekali dua tuan rumah minta sewa tapi banyak kali sampai dapat surat merah.

"Kami bukan tak nak bayar, tapi tak ada gaji. Macam mana nak bayar," jelasnya.

photo_6208322059424086835_y (1)

Bekas pemain import SUFC, Stuart Wark. — Facebook

Sementara itu, bekas pemain import, Stuart Wark, turut meluahkan rasa kecewa dengan sikap acuh tak acuh daripada pihak pengurusan yang tidak menjaga kebajikan pemain.

"Tindakan mereka itu tidak boleh diterima kerana bila berlaku masalah seperti pembayaran gaji seperti ini, mereka tidak memberi respons kepada pemain. Pihak yang sepatutnya bertanggungjawab tidak pernah membalas mesej dan tidak memberikan jawapan yang kami mahukan.

"Its not a good situation, kali terakhir kami berhubung dengan pihak SUFC pada bulan Disember lalu.

"Tapi rundingan itu hanya melalui orang tengah dan bukan pihak pengurusan yang sebenar dan dia sendiri tidak banyak membantu kerana mengalami nasib yang sama seperti kami, tidak dibayar gaji. Jawapan yang diberikan juga tidak memuaskan," katanya.

63500728-e691-4287-8665-8fa8ce0bf8bd

Bekas pemain pertahanan SUFC, Raja Imran Shah — Facebook

Menjawab persoalan mengapa pemain tidak bersuara berkenaan isu gaji tersebut pada awal musim, bekas pemain pertahanan SUFC, Raja Imran Shah memberitahu, pemain terikat kepada perjanjian kontrak.

"Dalam kontrak kami tidak boleh memburukkan nama kelab atau negeri tetapi, macam sekarang kita sudah habis kontrak dan isu tunggakan gaji ini sudah terlalu lama.

"Ini pun kali kedua terjadi dan bagi kami, isu ini sudah tidak boleh berulang lagi," katanya.

d8c2caf7-4352-4822-aebf-e41c10c86c08

Chanthuru Suppiah terpaksa menjual rumah ekoran daripada isu tunggakan gaji tersebut. — Facebook

Lebih menyedihkan lagi, bekas pemain sayap kanan skuad Ngap Sayot, Chanthuru Suppiah terpaksa menjual rumah ekoran daripada isu tunggakan gaji tersebut.

"Gaji tak nak bayar, tapi nak perform. Saya terpaksa menjual rumah demi kelangsungan hidup," katanya.

Buat masa sekarang, kesemua pemain Sarawak yang mempunyai tunggakan gaji itu melalui Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) untuk menyelesaikan isu tersebut.

Ibarat tidak pernah serik didenda, 'penyakit' culas tidak membayar gaji SUFC dalam menyelesaikan isu tunggakan gaji selama empat bulan turut menimbulkan perasaan amarah para penyokong tegar kelab itu.

Apatah lagi, insiden berkenaan bukan kali pertama berlaku dalam sejarah skuad Ngap Sayot apabila sebelum ini, SUFC pernah disekat daripada membuat sebarang perpindahan pemain tempatan dan import.

Sekatan tersebut dikenakan sendiri oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) setelah kegagalan SUFC menyelesaikan tunggakan gaji dan pampasan bekas pemain import mereka, Sandro da Silva berjumlah lebih RM150,000. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram