KETIKA ini, penyerang Johor Darul Takzim (JDT), Syafiq Ahmad berdepan ketidaktentuan dalam kariernya dengan minit permainannya semakin terhad saban tahun.
Meskipun menyerlah setiap musim, kehadiran bintang-bintang yang lebih prolifik dalam skuad Harimau Selatan menyukarkannya untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama.
Sebelum ini, pemain tersebut dikaitkan dengan kepulangan ke Kedah Darul Aman (KDA) FC selepas beberapa foto tersebar memaparkannya bersama ahli lembaga pengarah kelab Utara itu.
Namun, dia dilihat teragak-agak untuk melakukan keputusan apabila perlu melakukan penilaian secara terperinci mengenai kelebihan dan kekurangan yang boleh diberikan.
Tetapi, bagi seorang penyokong bola sepak tempatan menerusi akaun Facebook Bolasepak Malaysia, dia berpendapat bahawa Syafiq perlu mencari angin baharu ketika jendela perpindahan ini.
"Syafiq Ahmad seharusnya mengikut jejak langkah pemain seperti Safawi Rasid serta Stuart Wilkin yang berhijrah ke kelab lain untuk mendapatkan lebih minit permainan supaya bakat mereka tidak disia-siakan," katanya.
Ini adalah kerana terdapat tiga sebab utama yang perlu dilihat dari pelbagai sudut untuk membantunya membuat pilihan terbaik bagi kelangsungan karier.
Berikut tiga sebab Syafiq Ahmad diseru ikut jejak langkah Wilkin berhijrah ke Sabah dan Safawi bermain di kelab luar negara:
1. Tempat dalam Piala Asia 2023
Dalam kejohanan berprestij seperti Piala Asia 2023, khidmat Syafiq nyata lebih diperlukan. — FB Sportflex
Syafiq berpeluang mendapat tempat dalam pasukan Harimau Malaya yang layak ke Piala Asia 2023. Dengan pengalaman beraksi di pentas antarabangsa, ketajaman Syafiq ditagih memandangkan bahagian serangan skuad kebangsaan masih tiada pure striker selain Darren Lok.
Dibandingkan dengan penyerang dalam skuad Harimau Malaya ketika Piala AFF 2022 iaitu Haqimi Azim Rosli, Syafiq ada pengalaman di pentas antarabangsa untuk berdepan lawan lebih kuat.
Tidak dinafikan bakat emas pada Haqimi sebagai penyerang, namun dalam kejohanan berprestij seperti Piala Asia 2023, khidmat Syafiq nyata lebih diperlukan.
2. Minit Permainan
Kepulangan Diogo ke JDT membuatkan Syafiq terpaksa berusaha lebih untuk mendapatkan minit permainan. — Agensi
Setiap pemain memerlukan minit permainan yang secukupnya untuk memastikan sentuhan dan kemampuan mereka di atas padang, termasuk Syafiq walaupun dia hanya penyerang giliran JDT.
Namun, harapannya untuk diturunkan dengan lebih kerap musim depan seolah-olah akan terjejas berikutan kepulangan penyerang kelahiran Brazil, Diogo Luis Santo.
Perkara itu membuatkan peluang Syafiq untuk beraksi dengan lebih kerap bakal terjejas, lebih-lebih dengan prestasi yang ditunjukkan Bergson musim lepas.
Pada 2022, penyerang kelahiran George Town, Penang itu perlu berpuas hati dengan 11 penampilan bersama kesebelasan utama dalam kempen Liga Super.
Statistik itu dijangka terus menurun dengan persaingan yang lebih sengit pada musim 2023, sekali gus memberikan impak buruk terhadap sentuhannya di hadapan pintu gol lawan.
Sehubungan itu, Syafiq perlu mencari minit permainan di negara luar seperti yang dilakukan oleh Safawi yang menyertai kelab Ratchaburi di Thailand atau setidak-tidaknya berhijrah ke kelab tempatan yang lebih memberi peluang kepadanya untuk beraksi kerap.
3. Usia
Safawi bakal beraksi dalam saingan Liga Thailand secara pinjaman daripada JDT selama semusim. — Facebook
Syafiq sepatutnya mengambil peluang untuk berkelana ke luar negara atau ke kelab lain kerana usianya yang muda.
Jika dilihat pada umurnya yang berusia 27 tahun, adalah tidak terlambat baginya untuk mencari pengalaman di luar negara, lebih-lebih lagi dalam liga sekitar rantau Asia Tenggara.
Perkara itu bukan sahaja akan membolehkannya memiliki minit permainan, malah ia akan membawa perubahan terhadap skuad kebangsaan dengan berkongsi pengalaman yang diraihnya.
Tetapi, melihat kepada situasi sebelum ini, beberapa pemain pernah mengambil langkah tersebut dan ia tidak membuahkan hasil yang diharapkan seperti Safawi Rasid yang pernah berkelana ke Portugal. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram