Padang SNBJ jadi tumpuan lagi, hujan lebat beberapa jam sebelum game Malaysia-Singapura paksa petugas tutup guna kanvas


  • Podium
  • Selasa, 03 Jan 2023

Gambar di media sosial memaparkan petugas sedang menutup padang SNBJ berikutan hujan lebat. — Arena HijauKuning

KERJA-KERJA penutupan padang sedang giat dilakukan oleh petugas stadium, berikutan keadaan semasa di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur yang mengalami hujan lebat.

Difahamkan, kanvas bagi menutup padang stadium keramat Harimau Malaya tersebut merupakan milik Perbadanan Stadium Malaysia.

Perkara itu dilakukan menjelang aksi terakhir Kumpulan B saingan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 antara Malaysia dan Singapura pada Selasa malam.

Gambar berhubung perkara tersebut tular di media sosial ketika ini.

Pada 24 Disember lalu, permukaan padang SNBJ dijaga rapi ketika skuad kebangsaan menentang Laos pada aksi kedua Kumpulan B Piala AFF 2022.

Ia selepas Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga pemilik Johor Darul Takzim (JDT), berkenan meminjamkan kanvas bagi menutup permukaan padang stadium tersebut.

Pada Jun tahun lalu, kontroversi melanda apabila petugas SNBJ menggunakan penyodok sampah untuk mengaut air hujan yang bertakung di padang stadium berkenaan ketika perlawanan Piala Asia 2022 ketika Malaysia menentang Bahrain hingga gambar-gambar insiden itu tular.

Menurut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), sebanyak 52,034 tiket sudah pun terjual bagi perlawanan Malaysia menentang Singapura setakat pukul 2.30 petang Selasa.

Menerusi laman rasmi Facebooknya, FAM berkata, tiket perlawanan itu masih lagi boleh didapati pada harga serendah RM30 di laman tickethotline. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram