Azam Azmi digantung 2 perlawanan, denda lebih RM4,000


  • Podium
  • Selasa, 03 Jan 2023

Tangkap layar ketika Azam Azmi dilayangkan kad merah oleh Ryuji kerana didakwa mengasari pemain Vietnam.

TONGGAK pertahanan negara, Muhammad Azam Azmi Murad digantung dua perlawanan dan didenda RM4,406 (USD1,000) selepas insiden kontroversi bersama pemain Vietnam, Doan Van Hau sehingga dilayangkan kad merah ketika aksi kumpulan B saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 pada 27 Disember lalu.

Menerusi satu perkongsian dari wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, dia memuat naik satu kenyataan dari pihak Jawatankuasa Teknikal dan Etika Persekutuan AFF.

Jawatankuasa itu mendapati bahawa pemain Terengganu FC (TFC) itu bersalah dalam insiden kekasaran yang berlaku ketika Malaysia bertandang ke laman Vietnam di Stadium My Dinh, Hanoi.

WhatsApp Image 2023-01-03 at 10.29.47

Kenyataan yang dikeluarkan pihak AFF.

Dalam kenyataan itu juga menjelaskan bahawa Azam Azmi akan terlepas dua perlawanan kejohanan berkenaan termasuk aksi menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Selasa.

Selain itu, denda yang dikenakan terhadap pemain berusia 21 tahun tersebut juga perlu diselesaikan dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan yang dibuat iaitu pada Isnin (2 Januari 2023).

"Muhammad Azam Azmi Murad diminta supaya sentiasa berkelakuan baik dan tidak mengulangi perbuatan itu. Jika perkara seperti tersebut berlaku lagi, tindakan yang lebih tegas akan diambil keatasnya," tulis jawatankuasa tersebut.

Sebelum ini kecoh apabila pengadil perlawanan, Ryuji Sato melayangkan kad merah kepada Azam Azmi sebelum memberikan sepakan penalti kepada tuan rumah yang menyaksikan Malaysia tumpas 0-3.

Tindakan pengadil dari Jepun itu mendapat kecaman dari penyokong bola sepak tanah air sehingga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menghantar surat rasmi kepada pihak AFF berhubung ketidakpuasan hati ke atas mutu pengadilan pada aksi penuh kontroversi itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram