BINTANG bola sepak antarabangsa Brazil, Richarlison de Andrade membuatkan penyokong Indonesia teruja apabila dia dilihat menyaksikan perlawanan antara Sang Garuda dan Filipina dalam aksi Kumpulan A dalam Piala AFF 2022.
Richarlison yang memenangi gol terbaik pada Piala Dunia 2022, dilihat memuat naik semula video dari akaun Instagram rasmi Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) yang memaparkan jaringan Marselino Ferdinand.
Namun begitu, pemain berusia 25 tahun itu tidak memuatkan sebarang kapsyen dalam hantarannya di Instagram Story pada Isnin itu.
Susulan hantaran tersebut, ramai penyokong bola sepak Indonesia mulai membuat andaian bahawa tonggak Tottenham Hotspur mungkin memberi petunjuk bahawa dia berminat untuk beraksi di Liga Indonesia.
Tangkap layar Richarlison memuat naik mengenai jaringan dari Marselino Ferdinand.
Selain itu, ada juga yang menganggap Richarlison kagum dengan proses gol Marselino Ferdinand yang bermula dari hantaran dari Saddil Ramdani dalam ruang sempit kotak penalti.
Bukan itu sahaja, Richarlison turut dilihat memberi komen terhadap hantaran yang dimuat naik badan induk berkenaan persekutuan dengan emoji burung biru.
Burung biru itu merupakan simbolik kepada gaya meraikan gol Richarlison.
Penyokong Indonesia mulai membalas tindakan Richarlison itu dengan pelbagai komen seperti menganggap bahawa dia berminat untuk menjadi bintang naturalisasi Sang Garuda.
"Pengambilan terbuka, Richarlison mahu menjadi warganegara Indonesia," kata seorang penyokong.
“Ini selalunya khabar angin yang ditujukan kepada Persib Bandung,” komen penyokong lain.
Kemenangan 2-1 ke atas Filipina memastikan Indonesia layak ke separuh akhir Piala AFF 2022 berstatus naib juara Kumpulan A. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram