Pemain negara tidak keseorangan, ‘ekor Harimau Malaya’ sentiasa berada di belakang


  • Podium
  • Isnin, 02 Jan 2023

Kim Pan-gon ketika mengendalikan kem latihan pusat skuad Harimau Malaya di Wisma FAM pada Sabtu , menjelang perlawanan menentang Singapura pada Piala Mitsubishi Electric AFF 2022.

KANCAH bola sepak Asia Tenggara kini tertumpu kepada perlawanan antara Malaysia dan musuh tradisinya Singapura pada aksi terakhir Kumpulan B saingan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 di Stadium Nasional di Bukit Jalil, malam Selasa.

Pertembungan Causeway Derby, Singapura itu bukan perlawanan biasa kerana setiap pertemuan kedua-dua pasukan tidak pernah sepi daripada pelbagai drama ‘dalam dan luar’ padang, emosi dan ragam peminat.

Selepas Singapura berjaya mengikat Vietnam tanpa jaringan Jumaat lepas, pasukan negara bimbingan Kim Pan-gon tidak mempunyai pilihan selain perlu mencatat kemenangan untuk layak ke peringkat separuh akhir bagi mengelakkan daripada tersingkir awal buat kali kedua berturut-turut.

Singapura, juara empat kali dan hanya memerlukan keputusan seri untuk layak, bakal turun dengan reputasi unggul mencabar kehebatan Malaysia yang memiliki rekod kurang memberangsangkan berdepan The Lions dalam kesemua pertandingan beberapa tahun kebelakangan ini.

Perlawanan terakhir kedua-dua pasukan menyaksikan Singapura menang 2-1 di laman sendiri pada aksi persahabatan antarabangsa Mac lepas, sekali gus menyaksikan Pan Gon mengalami kekalahan pertama bersama pasukan negara.

Malaysia, juara Piala AFF 2010 sebelum itu tewas 0-1 pada aksi Piala Airmarine 2019 di Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan seri tanpa jaringan dalam perlawanan persahabatan pada 2016.

HANOI, 26 Dis -- Pemain sayap kiri kebangsaan Mohamad Faisal Abdul Halim bercakap pada sidang media aksi ketiga Kumpulan B saingan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 di Ibu Pejabat Persekutuan Bolasepak Vietnam (VFF) hari ini.
Malaysia yang kini menduduki tangga teratas kumpulan dengan mengumpul enam mata, akan berdepan juara dua kali, Vietnam pada pertembungan di Stadium My Dinh, Hanoi, esok (Selasa, 27 Dis).

--fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA


Faisal Halim perlu mengambil kesempatan mencari gol kedua bagi membunuh momentum pihak lawan. —Bernama

Kali terakhir Malaysia menewaskan Singapura ialah pada aksi terakhir Kumpulan B Piala AFF 2014 yang menyaksikan dua gol ‘epik’ lewat permainan - penalti Safiq Rahim dan penyudah jarak jauh Indra Putra Mahayuddin membantu pasukan menang 3-1 di Stadium Nasional Singapura sekali gus mara ke separuh akhir.

Bagai ulangan aksi kumpulan edisi 2014, tekanan dan bahang perlawanan jelas dirasai berdasarkan kedudukan kumpulan apabila Singapura sekadar mempunyai kelebihan satu mata di kedudukan kedua manakala Malaysia ketiga dengan mengumpul enam mata.

Sementara bagi pendahulu Vietnam yang akan menentang Myanmar pada satu lagi aksi kumpulan di Hanoi, biarpun tewas, mereka yang mengumpul tujuh mata sudah hampir pasti mengesahkan kemaraan ke peringkat separuh akhir selepas memiliki kelebihan jumlah jaringan yang besar.

Pada kempen kali ini, kejayaan mengikat Vietnam dengan pendekatan permainan bertahan dianggap persembahan terbaik Singapura di bawah bimbingan jurulatih dari Jepun, Takayuki Nishigaya selepas bergelut ketika meraih kemenangan masing-masing ke atas Myanmar dan Laos.

Pendekatan sama digunakan ketika menentang Vietnam dijangka menjadi pertaruhan Singapura di Bukit Jalil pada Selasa, sekali gus menyaksikan Malaysia perlu bermula garang memburu gol awal untuk memberi tekanan kepada anak buah Nishigaya.

Tekanan akan memaksa Singapura ‘membuka permainan’ dan pada ketika itu skuad bimbingan Pan-gon diterajui pemain sayap sensasi Mohamad Faisal Abdul Halim perlu mengambil kesempatan mencari gol kedua bagi membunuh momentum pihak lawan.

Bagaimanapun, benteng pertahanan pasukan negara diingatkan supaya mengekalkan fokus pada tahap terbaik sepanjang perlawanan dan mengelak daripada membuat kesalahan berdekatan kawasan gol kerana Singapura gemar mencipta jaringan dalam situasi ‘bola mati’.

Antara pemain Singapura yang mempunyai ketajaman di depan gawang perlu dirantai pasukan negara ialah pemain pertahanan Irfan Fandi dan adiknya di posisi penyerang, Ilhan, yang masing-masing sudah mencetak satu gol serta penjaring terbanyak pasukan Shawal Anuar yang mengumpul dua gol setakat ini.

Berdasarkan ranking FIFA, Malaysia lebih baik di kedudukan ke-145 manakala Singapura ke-160, namun pertembungan Causeway Derby tidak mengambil peduli soal rekod lampau kerana kedua-dua pasukan sentiasa berlumba-lumba melakar sejarah baharu.

Semoga pasukan yang terbaik memenangi perlawanan malam Selasa dengan pemain negara perlu tahu mereka tidak keseorangan kerana ‘pemain ke-12’ atau ‘ekor Harimau Malaya’ sentiasa berada di belakang memberikan sokongan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram