BAGI pemain pertahanan Harimau Malaya, Sharul Nazeem Zulphakar, dia perlu beaksi habis-habisan untuk mengawal kemaraan anak legenda bola sepak, Fandi Ahmad dalam pertemuan antara Malaysia dan Singapura.
Aksi terakhir Kumpulan B kejohanan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 di Stadium Nasional di Bukit Jalil, pada Selasa menuntut Sharul atau nama jolokannya, Afro menjaga benteng pertahanan Malaysia daripada dibolosi penyerang berbahaya The Lions, Ilhan Fandi.
Bintang muda skuad kebangsaan Singapura itu bakal mengetuai jentera serangan The Lions untuk menyekat peluang Malaysia ke separuh akhir Piala AFF 2022.
Anak-anak buah Takayuki Nishigaya hanya perlu seri dengan Harimau Malaya untuk layak sebagai semifinalis kejohanan antarabangsa dwitahunan tersebut.
Malaysia di bawah bimbingan Kim Pan-gon pula perlu menang untuk mengatasi Singapura sekali gus layak ke pusingan separuh akhir.
Harimau Malaya memiliki peluang cerah jika Singapura tidak menurunkan Ilhan sebagai 'senjata' berbahaya mereka ekoran kecederaan yang dialami pemain itu ketika pertemuan antara Singapura dan Vietnam yang menyaksikan perlawanan seri 0-0.
Ilhan mengalami kecederaan ketika perlawanan menentang Vietnam. — Agensi
Sharul bagaimanapun menjangkakan Ilhan yang mengalami kecederaan otot paha kiri pada perlawanan tersebut, akan kembali cergas dan berada dalam kesebelasan utama pasukan ketika aksi menentang Malaysia kelak.
“Ilhan seorang pemain yang mengagumkan, memiliki ketinggian enam kaki (1.83 meter), dia ada ketajaman untuk menyudahkan jaringan dengan sangat baik.
“Dia telah menjaringkan satu gol setakat ini, tetapi dia mampu menjaringkan lebih banyak lagi,’’ katanya.
Ilhan merupakan salah seorang daripada tiga anak Fandi Ahmad dalam pasukan kebangsaan Singapura. Seorang lagi ialah Irfan yang bermain di posisi pertahanan manakala Ikhsan (penyerang utama).
Pemain berusia 20 tahun itu baru-baru ini menyertai kelab divisyen dua Belgium, KMSK Deinze, dari Albirex Niigata FC. Dalam kempennya baru-baru ini, dia menjaringkan 17 gol semasa Albirex menjuarai Liga Perdana Singapura musim lalu.
Ikhsan tidak diturunkan dalam kempen Piala AFF kali ini kerana mengalami kecederaan lutut ketika beraksi menentang Maldives pada 17 Disember lalu.
Ahmad Khuzaimi menjalani latihan walaupun belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan. — Facebook/ FAM
Sementara itu, Sharul turut memberi perhatian kepada pemain sayap Singapura, Shawal Anuar, yang menjaringkan dua gol dan tonggak bahagian tengah, Syah Shahiran.
"Inilah kualiti yang ada pada Singapura, dan kami memerlukan pelan taktikal yang baik untuk menentang kekuatan mereka," kata Sharul.
Malaysia menghadapi masalah di bahagian pertahanan kerana bek kanan, Azam Azmi Murad digantung perlawanan ekoran layangan kad merah ketika menentang Vietnam. Pertahanan tengah, Ahmad Khuzaimi Piee pula belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.
Begitupun Sharul yang mengalami kecederaan ketika menentang Vietnam berasa lega kerana lebih cergas untuk menghadapi Singapura.
“Saya bersyukur keadaan saya semakin baik. Saya tidak boleh bayangkan terlepas perlawanan penting ini dan saya mahu memainkan peranan untuk membantu kami mara ke separuh akhir.'' katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram