Aksi genting Harimau Malaya-Singapura, Ryuji Sato kembali?


  • Podium
  • Selasa, 03 Jan 2023

Keputusan kontroversi membabitkan pengadil seperti mana pertemuan Vietnam-Malaysia diharap tidak berulang malam ini. — Facebook

'AKSI ibarat final', demikian gambaran yang diberikan oleh penyokong menjelang perlawanan penting antara Malaysia dengan Singapura dalam perlawanan terakhir Kumpulan B saingan Piala Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) 2022 di Stadium Nasional di Bukit Jalil, pada Selasa.

Misi wajib menang itu sememangnya memerlukan sokongan padu daripada penyokong Harimau Malaya dan pengendali kebangsaan, Kim Pan-gon turut menyeru peminatt untuk meramaikan Stadium Bukit Jalil.

Selepas Singapura seri tanpa jaringan ketika menentang Vietnam, Jumaat lepas, Malaysia tiada pilihan kecuali merekodkan kemenangan untuk layak ke separuh akhir bagi mengelak daripada tersingkir awal buat kali kedua berturut-turut dalam kejohanan itu.

Pasukan lawan, skuad The Lion City hanya memerlukan seri pada perlawanan itu berikuan mereka mempunyai kelebihan satu mata di tempat kedua, manakala Malaysia mengumpul enam mata di tempat ketiga.

Selain daripada misi menjaga benteng Malaysia daripada dibolosi pemain Singapura tidak mustahil kehadiran pengadil, Ryuji Sato ataupun petugas perlawanan sepertinya akan kembali mengadili perlawanan genting seperti malam ini.

Jika bukan sebagai pengadil, kehadiran sebagai penjaga garisan mahupun pegawai keempat perlawanan juga mengundang polemik ramai pihak sekiranya individu seperti Ryuji masih mendapat kepercayaan penganjur sepanjang kempen kali ini.

Mana tidaknya, pihak Jawatankuasa Pengadil AFF masih tidak memberi sebarang kenyataan balas mengenai status Ryuji Sato meskipun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah menghantar surat rasmi mengenai perkara itu.

Oleh itu, penyokong mula gusar jika mutu pengadilan seperti perlawanan Malaysia menentang Vietnam ketika aksi kumpulan B saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 pada 27 Disember lalu akan berulang.

Dalam perlawanan itu, penyokong mengecam sekeras-kerasnya tindakan Ryuji Sato melayangkan kad merah kepada Azam Azmi sebelum memberikan sepakan penalti kepada tuan rumah yang menyaksikan Malaysia tumpas 0-3.

Selain Ryuji Sato, terdapat beberapa pengadil yang perlu dipangkah dan berkemungkinan akan mendatangkan 'bala' kepada Harimau Malaya dalam perlawanan 'The Causeway Derby' itu.

Nama Mohammed Al Hoish dari Arab Saudi juga dalam senarai pengadil yang merisaukan penyokong kerana membiarkan Thailand bermain dengan 10 orang dalam perlawanan ketiga Kumpulan A Piala AFF 2022 sewaktu menentang Indonesia.

WhatsApp Image 2023-01-03 at 12.44.31

Antara aksi perlawanan Thailand menentang Kemboja. — Facebook/AFF

Penyokong Kemboja turut mengalami nasib yang sama dengan Malaysia apabila pengadil perlawanan, Omar Mohamed Al Ali menganugerahkan sepakan penalti kepada Thailand kerana tonggak skuad Gajah Perang didakwa ditolak dalam kotak penalti.

Justeru, kontroversi membabitkan mutu pengadilan sepanjang kejohanan Piala AFF 2022 diharapkan tidak akan berulang lagi dalam perlawanan Malaysia menentang Singapura malam ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram