Selain tajamkan 'tanduk', saham Sabah FC bakal melonjak jika sambar 'wonderkid' Asean


  • Podium
  • Selasa, 03 Jan 2023

Chantea (kiri) berjaya mencetak 21 gol dalam 21 perlawanan bersama Boeung Ket. — Instagram/Chantea

PENYOKONG Sabah FC boleh menarik nafas lega apabila pemain lincah, Saddil Ramdani disahkan akan terus kekal bersama skuad The Rhinos bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2023 (Liga-M) dan saingan Piala AFC 2023.

Berita baik itu didedahkan sendiri oleh pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee yang mana beliau memberitahu pemain kebangsaan Indonesia itu akan berada dalam perancangan pasukan Sang Badak pada musim depan.

Teka-teki mengenai status Saddil sebelum ini sempat menjadi kerisauan penyokong berikutan khabar angin yang mengaitkan bekas tonggak Sri Pahang itu dikatakan akan melebarkan sayapnya sebagai pemain bola sepak profesional ke persada Eropah.

Hal ini bermakna, Saddil menjadi tonggak import kedua diumumkan kekal bersama Sabah FC, selain Park Tae-su yang sudah menandatangani lanjutan kontrak baharu selama dua tahun bersama The Rhinos.

WhatsApp Image 2023-01-02 at 23.06.58

Saddil akan kekal menyarung jersi Sabah FC pada musim depan. — Instagram/Saddil

Kegembiraan penyokong tidak terhenti di situ apabila khabar angin mengatakan pasukan kelab berpangkalan di Borneo itu sedang mengintai penyerang muda dari Kemboja untuk mengisi kuota pemain Asean.

Pemain yang dimaksudkan ialah tonggak pasukan bola sepak kebangsaan Kemboja, Sieng Chantea yang mana dia juga kini sedang sibuk mewakili negaranya mengharungi kejohanan Piala AFF Mitsubishi 2022.

Chantea mula dikenali di persada antarabangsa apabila mempamerkan persembahan yang cukup cemerlang ketika mewakili Kemboja bawah 23 tahun (B-23) bagi kejohanan Sukan Sea 2019.

Ketika perlawanan menentang Myanmar berkenaan, jaringan dari 'wondekid' Kemboja itu dinobatkan sebagai gol terpantas dalam sejarah kejohanan Sukan SEA.

Penyerang berusia 20 tahun itu juga terus mencipta kejutan dengan menjadi pemain termuda yang menjaringkan gol untuk Kemboja dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia FIFA pada usianya 16 tahun.

Aksi mengagumkan dari pemain berketinggian 1.72 meter itu bersama pasukan kebangsaan menyebabkan kelab liga tertinggi Kemboja, Boeung Ket melamarnya dan dia berjaya mencetak 21 gol dalam 21 perlawanan.

WhatsApp Image 2023-01-02 at 23.06.47

Chantea salah satu tonggak Kemboja dalam kejohanan Piala AFF 2022. — Instagram/Chantea

Jika benar pasukan The Rhinos berjaya membawa masuk Chantea, penyokong berpendapat kehadirannya juga sebenarnya akan menaikkan nama Sabah dalam pentas Asia.

"Salah satu pemasaran dan followers juga. Penyokong-penyokong Indonesia mengikut Sabah FC sebab Saddil. Nanti penyokong-penyokong Kemboja pun akan ikuti Sabah FC juga. Secara tidak langung dapat meningkatkan penjualan merchandise Sabah di rantau Asean," kata penyokong Sabah, Roz Airen Ry.

"Boleh naikkan nilai pasaran," komen Malayantigerfans.

"Tingkatkan penjualan merchandise Sabah bro. Bagi naik lagi kewangan Sabah," tulis penyokong skuad The Rhinos, Aiman Shahrul Nizam.

Bagaimanapun, khabar angin mengenai perpindahan pemain itu masih belum disahkan oleh pihak pengurusan Sabah FC.

Setakat ini, The Rhinos berjaya memikat beberapa pemain baharu dalam pasukan antaranya penyerang Petaling Jaya (PJ) City FC, Darren Lok, Stuart Wilkin, Danial Haim (JDT), Irfan Zakaria (Kuala Lumpur City FC), Jafri Firdaus Chew (Penang FC), S Kumaahran (PJ City FC) dan R Dinesh (Negeri Sembilan FC). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram