Harimau Malaya gegar Bukit Jalil, gah belasah Singapura 4-1


  • Podium
  • Selasa, 03 Jan 2023

Aksi teruja skuad Harimau Malaya selepas berjaya meledak gol kali pertama ketika menentang Singapura pada Selasa. — FAM

STADIUM Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur digamatkan dengan sorakan lebih 60,000 penyokong apabila Malaysia berjaya mara sebagai semifinalis Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022.

Dalam pertemuan pada aksi terakhir Kumpulan B menentang Singapura, Malaysia mengutip mata berharga menerusi kemenangan empat gol sekali gus menguburkan impian Singapura yang hanya meledak satu gol.

Selepas beberapa kali cubaan merobek gawang The Lions, Harimau Malaya berhasil mencetak gol pertama hasil rembatan Darren Lok pada minit ke-36.

323894138_651155450086691_6734563210313415004_n

Aksi pemain Harimau Malaya dan Singapura dalam perlawanan pada Selasa. — FAM

Insiden pelanggaran antara Stuart Wilkin dan penjaga gol negara, Syihan Hazmi dalam perebutan bola menghentikan pemainan seketika, namun pemain Harimau Malaya terus ghairah mencari gol.

Separuh babak pertama tamat tanpa sebarang tambahan gol daripada kedua-dua pasukan.

Pada aksi di separuh masa kedua, skuad bimbingan Kim Pan-gon bermula garang apabila Stuart Wilkin menjaringkan gol kedua buat skuad kebangsaan.

Tidak sampai lima minit, Stuart Wilkin yang juga pemain tengah menyerang Sabah FC merembat gol ketiga sekali gus meletakkan pasukan Harimau Malaya selesa di hadapan.

Permainan sedikit terganggu pada minit ke-67 apabila berlaku insiden kekasaran antara pemain negara, Ruventhiran dengan pemain Singapura.

Berbaki lima minit perlawanan, Harimau Malaya sedikit leka yang menyaksikan pasukan Singapura berjaya merapatkan kedudukan dengan satu gol hasil rembatan Faris Ramli.

Syihan Hazmi juga diuji sekali lagi menerusi satu rembatan deras ke pintu gawang namun berjaya dipatahkan menerusi satu tumbukan ke udara.

Bagai tersentak, pemain Malaysia memperkemaskan jentera serangan dan berjaya menambah gol keempat daripada Sergio Aguero pada minit ke-87.

Penutup perlawanan disudahi dengan kemenangan Harimau Malaya 4-1. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram