SELAIN bakal berentap dalam saingan separuh akhir Piala Malaysia bersama Selangor FC pada Rabu, nama pasukan Terengganu FC (TFC) kini hangat menjadi topik perbualan dalam kalangan peminat bola sepak tanah air.
Ini termasuk konflik antara ketua jurulatihnya, Nafuzi Zain dengan pengurusan Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) yang dilihat tiada sebarang penyelesaian.
Namun, Nafuzi pada Selasa dilapor memilih untuk meninggalkan pasukan Pantai Timur itu musim depan selepas kira-kira empat tahun mengemudi pasukan Pantai Timur itu.
Mat Don menyertai Khon Kean United FC pada musim ini. — Agensi
Di sebalik kemelut itu, ada yang cuba tampil ‘menjernihkan’ keadaan dengan mencadangkan skuad Sang Penyu supaya membawa masuk pemain baharu ketika jendela perpindahan akan datang.
Mohd Redzuan Mohd Noor memberi idea kepada TFC untuk mendapatkan khidmat pemain import Johor Darul Takzim (JDT), Liridon Krasniqi secara pinjaman pada musim depan.
“Dia ni rasa ambe la sesuai dengan corak permainan TFC yang suka control di bahagian tengah dan hantaran pendek ikut celah-celah pemain.
“Dia punya skill (kemahiran) pun power (hebat),” kata penyokong TFC itu menerusi satu hantaran di laman Facebook.
Cuma, cadangan itu sebaliknya mendapat kecaman, yang mana rata-rata penyokong Sang Penyu tidak bersetuju dengan khidmat Liridon atau juga dikenali sebagai Mat Don.
Hal ini kerana corak permainannya dilihat agak perlahan, selain usia tua menjadi antara faktor halangan di sebalik khabar angin tersebut.
Tulis Mohd Fazrul: "Dia ni slow (perlahan) dan merencatkan tempo permainan. Kalau nak main laju tak boleh pakai dia ni, tapi kalau nak main bertahan boleh."
Ben Tayan berkata: "Slow sangat bohhh dia ni."
Tambah Mohd Raimi Ismail: "Tak boleh main sebab malas pressing, lepas tu slow."
Musim ini, bekas pemain Kedah FA itu memilih untuk meninggalkan skuad Harimau Selatan secara pinjaman bagi menyertai kelab Thailand, Khon Kean United FC.
Bagaimanapun, khidmatnya seolah-olah tidak diperlukan JDT selepas mereka memiliki pemain tengah kreatif, Leandro Velazquez yang berjaya mengukuhkan tempatnya dalam pasukan musim ini.
Sebelum ini, timbul khabar angin di media sosial yang mengatakan JDT bakal melepaskan beberapa pemain dengan Syazwan Andik dan Fadhli Shas dikatakan sebagai antara nama yang disebut-sebut meninggalkan kelab menerusi pinjaman. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram