Nelson San Martin tawar diri kendali skuad simpanan Kedah


  • Podium
  • Selasa, 15 Nov 2022

Nelson (kanan) merupakan legenda Kedah yang pernah memenangi gelaran treble.

LEGENDA Kedah, Nelson San Martin secara terbuka menawarkan dirinya untuk bersama pengurusan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada musim depan.

Kenyataan itu dibuat selepas dia membalas ciapan pemerhati bola sepak, Zulhelmi Zainal Alam yang menyatakan ketua jurulatih sementara Penang FC, Manzoor Wira tidak akan berhijrah ke Kedah untuk mengendalikan pasukan simpanan Hijau Kuning.

"Helo semua, merujuk berita ini, saya mengisytiharkan bahawa saya bersedia untuk mengambil tanggungjawab jika diberi peluang pengurusan KDA FC.

"Baru-baru ini, saya sudah menghubungi pengurusan KDA FC dan menyatakan minat untuk kembali ke Alor Setar serta menyumbang kepada bola sepak Kedah.

"Saya sentiasa bersedia kembali ke rumah saya," tulisnya dalam laman Facebook.

Nelson San Martin

Komen yang ditinggalkan Nelson untuk menawarkan diri bersama Kedah.

Nelson merupakan pemain Kedah yang memenangi gelaran treble pada musim 2006 dan 2007 sebelum berhijrah ke beberapa kelab luar termasuk di Thailand, Singapura dan Chile selepas Liga Malaysia mengharamkan penggunaan pemain import.

Dia kemudiannya kembali bersama Kedah pada 2013 sebelum menamatkan karier pada 2015 di Terengganu.

Bekas pemain berusia 42 tahun itu merupakan kelahiran Chile dan bermain di posisi tengah.

Format Liga Super musim 2023 menyaksikan setiap kelab perlu menghantar pasukan untuk menyertai Liga Simpanan, Piala Presiden dan Piala Belia.

Kedah kini dalam misi mencari ketua jurulatih baharu selepas menamatkan kontrak Aidil Sharin Sahak pada pada Oktober lalu susulan prestasi hambar kelab utara itu dalam kempen Liga Malaysia musim ini.

Antara nama yang menjadi sebutan menggantikan tempat Aidil adalah Nafuzi Zain, Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC).

Masa depan Nafuzi bersama boleh dikatakan akan berakhir selepas tamatnya kempen Piala Malaysia selepas dia 'bertelagah' dengan pihak pengurusan berhubung isu kontrak.

Nafuzi cemerlang mengemudi TFC apabila menduduki tangga kedua Liga Super musim ini untuk layak ke saingan Piala AFC pada musim depan.

Selain itu, jurulatih kelahiran Kelantan itu juga membawa Sang Penyu ke final Piala FA tetapi tewas kepada Johor Darul Takzim (JDT).

Kini dia sedang fokus untuk memastikan TFC layak ke final Piala Malaysia apabila bertemu Selangor FC di saingan separuh akhir. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram