SELEPAS berdiam diri mengenai isu kontrak lanjutan yang ditawarkan daripada pengurusan Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB), Ketua Jurulatih skuad Penyu, Nafuzi Zain tampil menyuarakan apa yang terbuku di hatinya.
Pengendali Terengganu FC (TFC) itu meluahkan rasa terkilan dengan layanan pihak pengurusan TFCSB yang menyifatkan sebagai tidak profesional dan menghormati kedudukannya sebagai ketua jurulatih.
Menurutnya, TFCSB hanya menggunakan khidmat 'kitman' sebagai orang tengah untuk menyerahkan surat tawaran tanpa memanggilnya untuk membincangkan mengenai hala tuju pada musim depan.
Tindakan tidak profesional pihak pengurusan Terengganu seperti tidak menghargai segala pengorbanan jurulatih berusia 44 tahun itu, lagi-lagi selepas segala usahanya membawa TFC ke kejohanan Piala AFC.
Nafuzi berjaya membantu TFC untuk meraih tiket ke saingan Piala AFC untuk musim 2023. — Facebook/TFC
Sementara itu, Pengurus TFC, Mohd Fadhil Wahab tampil memberi respons mengenai isu menggunakan ‘kitman’ sebagai orang tengah untuk memberi surat tawaran kepada jurulatih kelahiran Kelantan itu.
Mohd Fadhil berkata, dia tidak tahu lebih lanjut sejauh mana kesahihan mengenai perkara itu namun sekiranya benar, ‘kitman’ itu juga merupakan salah satu kakitangan TFC.
Menurutnya, Nafuzi tidak sepatutnya membuat kenyataan pihak pengurusan melakukan sesuatu yang teruk hanya kerana mereka menggunakan kitman menghantar surat berkenaan.
“Kadang-kadang percakapan mereka pun tidak boleh diambil kira sangat. Mungkin dia ingat pengurusan buat sesuatu tidak betul. Saya kena ingat balik. Kitman itu mesti salah seorang staff. Saya pun tak tahu nak komen macam mana.
“Tidak tahu lagi sejauh mana kebenaran ini. Setakat ini jika pengurusan teruk, macam mana pihak pengurusan boleh membantu ke arah lebih baik. Masalah gaji pun tidak berlaku. Bukan kerana sebab itu pihak pengurusan teruk, tak semestinya, tidak boleh pakai itu,” katanya kepada Majoriti.
Malah, dia juga masih belum dapat memastikan sama ada pihak pengurusan tertinggi akan membuat kenyataan berkenaan itu itu kerana risau ia akan menganggu konsentrasi Piala Malaysia yang sedang berlangsung.
TFC berjaya menumpaskan KL City dengan agregat 4-1 pada peringkat suku akhir Piala Malaysia. — Facebook/TFC
TFC berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Kuala Lumpur (KL) City dengan agregat 4-1 pada peringkat suku akhir kejohanan berprestij itu.
Dalam pada itu, dia juga membahaskan bahawa isu melibatkan pertukaran pemain juga sering berlaku dalam dunia bola sepak.
“Jika kita buat kenyataan jadi masalah pula. Saya rasalah, kita tengok keadaan macam mana.
“Saya rasa isu pemain keluar masuk ini biasa. Apa-apapun kita buat terbaik. Kita tunggu keputusan macam mana. Kita hanya mampu sedia kemungkinan.
“Dulu pun kita pernah buat ada pertukaran teruk. Cuma kadang-kadang orang tak tahu maklumat sebetulnya. Kadang-kadang apabila melibatkan media sosial ini tak boleh pakai sangat. Kita tumpukan pada Piala Malaysia,” ujarnya.
Selain itu, pada Ahad, Nafuzi berkata, dia akan hadir ke pejabat TFCSB untuk menyerahkan surat jawapan, sekali gus mengakhiri semua tanda tanya serta khabar angin mengenai hala tujunya pada musim depan.
Kedah Darul Aman (KDA) FC antara pasukan Liga Malaysia yang dikaitkan dengan jurulatih muda tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram