Kemelut dalaman Sang Penyu jadi tonik tambahan Gergasi Merah


  • Podium
  • Selasa, 15 Nov 2022

Aksi pertemuan yang menyaksikan Selangor tersingkir di separuh akhir Piala FA selepas ditewaskan TFC. — Facebook/Selangor FC

PERTEMUAN antara Selangor FC dan Terengganu FC (TFC) antara yang menjadi tumpuan dalam saingan separuh akhir Piala Malaysia.

Tan Cheng Hoe selaku ketua jurulatih baharu Selangor FC sudah pasti mahukan kemenangan apatah lagi kejayaan untuk mara hingga ke peringkat akhir menjadi kayu ukur buatnya.

Namun, Sang penyu juga bukan calang-calang lawan kerana pasukan kendalian Nafuzi Zain itu berada dalam momentum yang terbaik.

Malah, sejak pertengahan September lalu, Sang Penyu belum pernah tewas dalam mana-mana perlawanan.

FW1250922_TR15_06082022_PIALA_FA-1536x1024 (1)

Selangor gagal menyaingi TFC di separuh akhir Piala FA pada Ogos lalu. — Bernama

Ini sesuatu yang digeruni Gergasi Merah ditambah pula dengan 'badi' gagal meraih sebarang kemenangan apabila bertemu Terengganu sejak tiga tahun lalu.

Rekod pertemuan tahun ini juga menyaksikan Selangor tumpas dalam kedua-dua perlawanan Liga Super, tewas dalam aksi perlawanan persahabatan dan seri dalam separuh akhir Piala FA.

Namun, momentum yang dimiliki Sang Penyu terutamanya menjelang pertemuan pada 16 November depan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor nampak sedikit goyah dengan konflik dalaman yang dihadapi mereka.

Nafuzi-Zain_Terengganu-Football-Club

Nafuzi (kanan) menjadi tumpuan ekoran konflik dalaman dengan pengurusan TFC. — Facebook/TFC

Sejak beberapa hari kebelakangan ini, konflik antara Nafuzi dengan pengurusan Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) nampaknya seperti tidak bertemu jalan penyelesaian.

Malah, kedua-duanya saling menganggap masing-masing tidak profesional.

Penyokong Selangor melihat pergolakan yang dialami Nafuzi dan pengurusan itu seakan tonik tambahan untuk Gergasi Merah.

"Dengan krisis dalaman yg berlaku dalam TFC ketika ini, tidak mustahil mental pemain merudum dan kesempatan ini bakal diambil oleh Selangor untuk menang," kata penyokong Selangor, Din.

Anang Zain pula berkata, dia berharap Selangor dapat bermain sebaik Johor Darul Takzim (JDT) dan TFC.

313982781_560974526034280_8585868829514470046_n

Penyokong berharap kemelut yang melanda TFC akan menjadi tonik buat Selangor FC meraih kemenangan. — Facebook/Selangor FC

"Sila ambil kesempatan atas gelora dalam TFC (pengurusan dan coach sahaja) yang tak pandai letak keutamaan semasa," katanya.

"Jangan risau, memang diakui TFC power setiap arah tetapi mereka dalam kontroversi melibatkan jurulatih dan pengurusan. Selangor akan berjumpa JDT nanti di final," kata Ateh Majid.

Seorang penyokong TFC juga mengakui yang kemelut dalaman ini berkemungkinan akan membuatkan pemain hilang semangat.

"Tahniah Selangor. TFC dah down. Moral pemain pasti jatuh. Penyokong pun mungkin ramai yang tak pergi stadium," kata Vegas Pro.

Perlawanan separuh akhir pertama akan dilakukan di Selangor manakala perlawanan timbal balik akan berlangsung pada 21 November depan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram