BEKAS ketua jurulatih kebangsaan, B Sathianathan melihat pengendali Liga Malaysia hari ini dilayan dengan kurang rasa hormat selain menegaskan perkara itu perlu dihentikan.
Sathianathan yang juga Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) berkata, dia menyokong tindakan pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain untuk meluahkan perasaanya di sidang media pada Ahad lalu.
Jelas jurulatih berusia 64 tahun itu, Nafuzi berhak menerima layanan lebih baik, apatah lagi selepas membimbing skuad Sang Penyu ke separuh akhir Piala Malaysia serta muncul sebagai naib juara Piala FA dan Liga Super.
"Pihak pengurusan Terengganu FC sepatutnya lebih peka dengan protokol dan saya menasihati mereka, terutamanya Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Ab Rasid Jusoh untuk menghargai tugas ketua jurulatih menerusi rasa hormat dan tawaran.
"Seorang pengendali yang berjaya tidak akan tertarik dengan kontrak setahun. Walaupun kelab mahu pemain serta barisan kejurulatihan untuk bersikap profesional, pada saya, apa yang dihadapi Nafuzi adalah terlalu berat," katanya.
Hubungan Nafuzi bersama skuad Sang Penyu seakan-akan sudah terlerai. — Astro AWANI
Sebelum ini, Nafuzi menerima kritikan selepas membuat satu kenyataan awam mengenai status kontraknya dengan mengatakan pihak pengurusan tidak mengadakan satu rundingan rasmi mengenai masa depan kelab.
Selain itu, dia berkata, surat tawaran lanjutan kontrak tidak diberikan kepadanya secara bersemuka serta menggunakan 'kitman' sebagai pengantara kedua-dua pihak.
Namun, badan pengurusan Terengganu FC lantas menjawab perkara itu dengan menyatakan satu rundingan bakal dibuat pada masa akan datang dalam usaha mengelak isu itu menjadi semakin serius.
Dalam masa sama, Sathianathan juga mempersoalkan pertikaian kelab terhadap permintaan gaji jurulatih yang terpaksa mengeluarkan kos besar untuk mendapatkan lesen kejurulatihan.
"Pengendali perlu membayar sehingga RM60,000 untuk memperolehi lesen Pro, tetapi mereka hanya dibayar RM8,000 ke RM9,000 sebulan, adakah itu cukup?
"Kadang-kadang, pihak pengurusan seperti tidak mengendahkan jurulatih dan ada juga yang menandatangani pemain tanpa berurusan dengan hanya berunding antara ejen dan CEO," katanya.
Tambah Sathianathan, pasukan Liga Malaysia juga sepatutnya berfikir dengan lebih mendalam ketika membawa masuk jurulatih import dengan menilai latar belakang mereka terlebih dahulu.
"Ada yang melantik pengendali luar dengan karier dan ia sepatutnya dijadikan garis panduan kerana apakah makna sekiranya mereka hanya dibawa masuk kerana mempunyai lesen dan tiada pengalaman?
"Kita memerlukan seseorang yang mampu mencurahkan ilmu dan pengetahuan kepada orang tempatan. Tengok sahaja Bojan Hodak bersama Kuala Lumpur (KL) City FC, dia sanggup berkongsi dengan pembantu seperti Shukor Adan," katanya.
Sathianathan sebelum ini memegang jawatan pengendali beberapa pasukan tempatan termasuk Selangor FC dan Sarawak United FC sebelum terpaksa berehat berikutan masalah kesihatan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram