AKSI separuh akhir Piala Malaysia pastinya bakal menyajikan saingan sengit antara empat pasukan yang layak sebagai semifinalis kejohanan berprestij itu.
Juara Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) mengesahkan kemaraan ke slot separuh akhir Piala Malaysia selepas membelasah Kelantan FC 5-0 pada aksi suku akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor, sekali gus melakar kemenangan besar 8-0 secara agregat.
Sabah FC turut mengesahkan tempat ke pusingan separuh akhir biarpun sekadar melakar keputusan seri 1-1 berdepan Kuching City FC di Stadium Likas, Sabah dan mara dengan agregat 2-1.
Sementara itu, Selangor FC pula melangkah ke separuh akhir dengan agregat 4-2 selepas seri 2-2 menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dalam aksi timbal balik.
Terengganu FC (TFC) juga meneruskan kemaraan dalam kempen Piala Malaysia setelah mengatasi KL City FC 3-1 dalam aksi suku akhir kedua di laman sendiri dan mara dengan agregat 4-1.
JDT mengesahkan kemaraan ke slot separuh akhir Piala Malaysia selepas membelasah Kelantan FC 5-0. — Facebook
Kemenangan secara agregat 8-0 membolehkan JDT yang juga juara Piala FA membuat perhitungan dengan Sabah FC di separuh akhir, minggu depan.
Pemain-pemain Selangor pula dalam misi balas dendam ke atas skuad Sang Penyu yang pernah menewaskan mereka ketika saingan separuh akhir Piala FA musim ini.
Melihat kepada saingan yang bakal dihadapi, pemerhati bola sepak tempatan, Profesor Madya Dr Zulakbal Abd Karim berkata, saingan menarik dan sengit pastinya antara Selangor dan Terengganu yang mempamerkan aksi konsisten dalam beberapa perlawanan terakhir masing-masing.
Menurutnya, Selangor FC ibarat mendapat tonik menerusi penyertaan jurulatih berpengalaman, Tan Cheng Hoe yang berjaya memperbaiki prestasi skuad Merah Kuning menerusi satu demi satu kemenangan sejak mengambil alih pasukan pada 24 September lepas.
Penyerang TFC, Kpah Sherman mencipta nama sebagai antara penjaring terbanyak sepanjang kempen Piala Malaysia berlangsung. — Facebook
"Selangor dah tunjukkan kebolehannya sebagai pasukan yang hebat, dan apabila pasukan tersebut menerima suntikan semangat dengan kemasukan Cheng Hoe, hasilnya kita nampak.
"Selain faktor coach, persiapan rapi dan kesungguhan pengurusan juga akan memberikan kelebihan kepada Selangor FC dalam aksi separuh akhir itu.
Meskipun demikian, Terengganu FC katanya, tetap akan memberi cabaran sengit lagi-lagi pasukan di bawah kendalian Nafuzi Zain itu berada di kemuncak karier persembahan.
"Dengan pengalaman yang diperoleh setakat ini, TFC juga akan tunjukkan persembahan terbaik.
"Tambahan lagi rumours perpindahan pemain dan jurulatih yang kita dengar sekarang, saya pasti Terengganu mahu ucap selamat tinggal kepada musim ini dengan satu kejayaan manis," katanya.
Brendan Gan (kiri) menterjemahkan keserasian dengan Cheng Hoe melalui kejayaan yang dicipta bersama pasukan. — Facebook
Mengulas mengenai perlawanan antara JDT dan Sabah FC pula, Zulakbal berkata, skuad Harimau Selatan tentunya memiliki peluang lebih cerah untuk mara ke pusingan akhir berdasarkan track record pasukan gergasi itu.
Pada masa sama, Sabah FC di bawah bimbingan Datuk Ong Kim Swee ketika ini gagal mengekalkan konsistensi permainan di tahap terbaik ekoran kehilangan beberapa tonggak utama atas faktor kecederaan dan sebagainya.
"Sabah FC akan sedikit bergelut untuk mengalahkan JDT kerana bukan mudah untuk menggugat kehebatan pasukan itu.
"Kelebihan memang kepada JDT tapi dalam bola sepak, kita tak boleh jangka prestasi pemain kerana terdapat pelbagai kemungkinan dan kejutan.
Sabah FC gagal mengekalkan konsistensi permainan di tahap terbaik ekoran kehilangan beberapa tonggak utama. — Facebook
"KL City sebelum ini pun pernah mencipta kejutan dengan mengatasi JDT pada aksi final Piala Malaysia 2021, jadi segala kemungkinan pasti ada," jelasnya.
Justeru, Zulakbal berkata, peluang masih terbuka untuk mana-mana empat pasukan berkenaan memburu gelaran juara Piala Malaysia musim ini.
Untuk rekod, separuh akhir pertama Piala Malaysia bakal berlangsung pada 15 dan 16 November ini membabitkan JDT menentang Sabah di Stadium Likas dan Selangor menentang Terengganu di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram