Jodoh TFC terlerai, Nafuzi enggan sambung kontrak


  • Podium
  • Selasa, 15 Nov 2022

Nafuzi akhirnya memilih untuk meninggalkan Sang Penyu selepas hampir tiga tahun membimbing kelab Pantai Timur itu. — Facebook/Terengganu FC

SELEPAS berminggu-minggu seakan-akan bermain tarik tali, ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain akhirnya memilih untuk meninggalkan pasukan Pantai Timur itu musim depan.

Perkara itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab tersebut, Ab Rasid Jusoh yang berkata, jurulatih berusia 44 tahun itu menolak tawaran yang diberikan pihak pengurusan Oktober lalu.

"Jawapan daripada ketua jurulatih kami pada pukul 4.47 petang semalam (Isnin). Jadi, dalam surat tersebut, beliau tidak bersetuju untuk menyambung tawaran yang kita utarakan kepada beliau," katanya dalam satu sidang media yang disiarkan menerusi Facebook rasmi kelab itu pada Selasa.

Kontrak Nafuzi bersama skuad Sang Penyu menjadi bualan hangat kebelakangan ini selepas media melaporkan masa depannya bersama pasukan sebelum ini dilihat semakin samar.

Hal itu diburukkan apabila jurulatih kelahiran Kelantan itu membuat satu kenyataan awam yang mempersoalkan sikap profesionalisme Terengganu FC dalam menawarkan kontrak lanjutan kepadanya.

Luahan tersebut bagaimanapun dijawab pihak pengurusan yang bertindak mengeluarkan kenyataan rasmi bagi mengelakkan situasi ketika ini menjadi semakin keruh.

Dalam masa sama, Rasid turut menegaskan Nafuzi akan terus menggalas tanggungjawab bersama barisan kejurulatihan sedia ada dalam mengharungi separuh akhir Piala Malaysia TFC.

"Perbincangan sudah diadakan bersama Ahli Lembaga Pengarah, jadi tidak ada sebarang perubahan. Beliau masih lagi menerima gaji daripada pasukan dan tidak ada sebab untuk beliau direhatkan atau sebagainya," katanya.

Terengganu FC bakal berdepan Selangor FC di Stadium MBPJ, Selangor pada Rabu dalam usaha meneruskan kemaraan ke peringkat final Piala Malaysia.

Nafuzi sebelum ini difahamkan menerima tawaran beberapa kelab Liga Malaysia, terutama Kedah Darul Aman (KDA) FC yang tidak mempunyai pengendali sejak pemecatan Aidil Sharin Sahak September lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram