'Sign kontrak kelab lain lebih awal pun tak profesional', TFCSB pulang paku buah keras kepada Nafuzi


  • Podium
  • Isnin, 14 Nov 2022

Nafuzi kecewa dengan layanan pihak pengurusan TFCSB yang didakwa kurang profesional dalam rundingan lanjutan kontraknya sebagai ketua jurulatih TFC. — Bernama

SELEPAS pengurusan Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) memperjelaskan isu 'kitman' sebagai orang tengah untuk memberi surat tawaran kepada ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain kerana tindakan itu disifatkan kurang profesional, pihak tersebut kali ini tampil memulangkan paku buah keras kepada pengendali Sang Penyu itu.

Ketua Pegawai Eksekutif TFCSB, Ab Rasid Jusoh berkata, Nafuzi juga bersikap kurang profesional kerana mendakwa jurulatih dari Kelantan itu berunding dan menandatangani perjanjian lebih awal dengan sebuah pasukan di Liga Super pada Ogos 2022.

"Tindakannya menyalahi serta melanggar syarat kontrak yang mana kontrak itu tidak membenarkan pegawai (Nafuzi) menandatangani perjanjian dengan mana-mana pasukan selagi berada dalam tempoh kontrak.

"Tindakan kurang profesional pegawai (Nafuzi) dalam menentukan halatuju beliau dan seakan-akan ingin mencalarkan imej pengurusan kelab dengan melemparkan pelbagai tuduhan dan meletakkan kesalahan kepada pengurusan sebelum meninggalkan kelab adalah tidak wajar," katanya dalam satu kenyataan.

Susulan itu, Ab Rasid berkata, pihaknya sedang meneliti bentuk tindakan yang akan diambil terhadap jurulatih muda itu yang disifatkan sebagai melanggar syarat serta mencalar imej kelab.

Pada Ahad, media melaporkan Nafuzi meluahkan rasa terkilan dengan layanan pihak pengurusan TFCSB terhadapnya yang disifatkan sebagai tidak profesional, apabila menggunakan khidmat 'kitman' sebagai orang tengah untuk menyerahkan surat tawaran lanjutan kontrak tanpa beliau dipanggil untuk sebarang perbincangan.

Ia susulan pengakuan terbuka Nafuzi yang mendakwa pihak pengurusan TFCSB bersikap tidak profesional berhubung isu tawaran lanjutan kontrak beliau sebagai ketua jurulatih skuad Penyu untuk musim depan.

Sementara itu, Ab Rasid berkata, beliau terkejut dan terkilan dengan tuduhan secara terang-terangan yang disifatkan mencemar imej kelab serta mencalar hubungan antara kedua-dua pihak.

Lebih dikesalkan, katanya konflik tersebut dicetus ketika TFC berada dalam momentum terbaik setelah layak ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia musim ini.

"Mengenai isu lambat menawarkan kontrak kepada jurulatih tersebut (Nafuzi), kelab haruslah dalam masa 30 hari sebelum tamat kontrak musim ini memberi notis kepada pegawai (Nafuzi) untuk melanjutkan kontrak.

"Pihak kelab mengesahkan telah mengutus surat tawaran pelanjutan kontrak bertarikh 27 Oktober 2022 berdasarkan kemampuan kelab yang disampaikan melalui Pembantu Operasi Unit Teknikal TFCSB kepada Nafuzi sebelum tamat kontrak beliau pada 30 November 2022," katanya.

Menurut Ab Rasid, Nafuzi diberi tempoh 14 hari dari tarikh surat berkenaan untuk memberi jawapan balas sama ada menerima, menolak atau meletakkan tarikh bagi perundingan terma-terma kontrak.

Bagaimanapun pihaknya tidak menerima apa-apa maklum balas sehinggalah kenyataan terbuka yang dibuat Nafuzi pada sidang media selepas perlawanan suku akhir kedua menentang Kuala Lumpur City (KL City) FC Sabtu lepas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram