PASUKAN Selangor FC berada di landasan tepat sejak posisi kejurulatihannya dipegang oleh ketua jurulatih berpengalaman, Tan Cheng Hoe yang masih memegang rekod tanpa kalah dalam mana-mana perlawanan.
Setakat ini, jurulatih kelahiran Alor Setar, Kedah tersebut telah membantu skuad The Red Giants keluar daripada episod gelap dengan memacu Selangor mencatat enam kemenangan dan dua seri tanpa tewas.
Bukan itu sahaja, magis Cheng Hoe yang mula mengemudi Selangor pada baki-baki saingan Liga Super pada Oktober lalu turut mencatatkan enam kali clean sheet dengan hanya dibolos sebanyak tiga kali.
Rekod cemerlang itu bagaimanapun berada dalam keadaan rapuh apabila Selangor dijadualkan bertemu pasukan Terengganu di saingan separuh akhir Piala Malaysia pada Rabu.
Sinonim namanya bagai laksamana, pengendali berusia 54 tahun tersebut perlu membantu Selangor menamatkan badi kekalahan Selangor yang tidak pernah menang ke atas skuad Penyu sejak lebih tiga tahun lalu.
Rekod cemerlang Cheng Hoe berpotesi tercalar pada pertemuan dua kelab, Rabu ini. — Facebook/ Selangor FC
Terengganu kini berada dalam puncak prestasi di bawah kendalian ketua jurulatih, Nafuzi Zain apabila berjaya meletakkan mereka sebagai pasukan kedua terbaik selepas Johor Darul Takzim (JDT) dengan menduduki tempat kedua Liga Super serta tiba di final Piala FA.
Di atas kertas, Selangor memiliki kelebihan pada bahagian pertahanan manakala Terengganu pula kuat di bahagian serangan.
Melihat kepada statistik, penyokong Selangor FC mahu pemain-pemainnya berwaspada dengan tiga pemain import skuad Hitam Putih iaitu Manuel Ott, Kipre Tchetche dan Kpah Sherman.
Penyokong Selangor, Irwan Mohd Rasid menerusi laman Kelab Penyokong Selangor menyeru agar anak-anak buah Cheng Hoe peka dengan ancaman terbesar dari kelab Pantai Timur itu.
"Terengganu bahagian depan memang kuat sebab mereka ada import tiga serangkai. Harap Selangor dapat dapat kawal tengah dengan baik dan sentiasa berwaspada," katanya.
Laksamana Umar menambah: " Perlu halang supply dari bahagian tengah. Kalau macam itu, baru tiga serangkai mati akal. Masa lawan JDT dulu, kita ikat Fernando (Forestieri) dan pemain tengah dia daripada hantar bola kepada Bergson (Da Silva).
"Mati akal Bergson. Jadi, masa main dengan Terengganu nanti, ikat pemain tengah dia. Pemain tengah kita pun perlu dominan juga kerana mereka pun agresif di bahagian serangan," ujarnya.
Anang Zain turut berkongsi pendapat: "Bahagian pertahanan Selangor perlu lagi laju dari serangan dan sayap Terengganu.
Sebagai rekod pada musim ini, Manuel telah meledakkan enam gol dengan tujuh bantuan gol, Kpah mencatatkan 13 gol dengan dua bantuan gol manakala Kipre menyumbang 14 gol serta dua bantuan gol buat skuad Penyu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram