Bintang PJ City pilih TRW pada musim depan?


  • Podium
  • Isnin, 10 Okt 2022

Antara aksi Mahali (depan) ketika mewakili skuad kebangsaan.

MENJELANG musim perpindahan pemain Liga Malaysia (Liga M) yang bakal disaksikan pada penghujung tahun ini, ada di antara mereka yang sudah pun membuat perancangan awal tentang kelab yang bakal mereka sertai kelak.

Terbaharu, timbul desas-desus bahawa bekas pemain kebangsaan, Mahali Jasuli bakal menyertai Kelantan FC pada musim depan.

Pemain pertahanan sayap Petaling Jaya (PJ) City FC sememangnya satu figura yang cukup disegani dalam arena bola sepak tempatan, melihat kepada kariernya di Selangor FC dan Johor Darul Takzim (JDT).

Ketika di pasukan Lembah Klang itu, Mahali terkenal dengan kemampuannya untuk melakukan hantaran, serta mencipta jaringan meskipun bukanlah seorang penyerang.

Selepas itu, dia berhijrah untuk menyertai skuad Harimau Selatan dengan statusnya sebagai pemain senior mampu membawa pasukan tersebut ke satu tahap yang lebih tinggi.

182463252_1190634948036480_4122687742948804812_n

Mahali (kanan) kini beraksi mewakili PJ City FC. — Vocket FC

Kini, pemain berusia 33 tahun itu sedang giat menyumbangkan khidmatnya bersama PJ City, walaupun usianya sedikit menyekat gerak-geri dan tempo permainannya.

Oleh itu, tidak hairanlah apabila penyokong The Red Warriors (TRW) berminat untuk melihat Mahali menyarung jersi pasukan Pantai Timur itu untuk musim depan.

Peluang Kelantan FC untuk beraksi di liga teratas domestik merupakan satu prospek menarik buat peminat tegar pasukan itu, selepas bertahun-tahun terdampar di Liga Perdana.

Meskipun pasukan itu menamatkan saingan liga di kedudukan kedua, tidak boleh dinafikan bahawa masih banyak penambahbaikan perlu dilakukan ke atas skuad muda itu.

Selain itu, pemilik, Norizam Tukiman pasti tidak mahu melakukan pelaburan yang merugikan, apabila pasukan itu baru sahaja diselamatkan daripada kemelut kewangan pada 2020.

Namun, persoalannya, adakah Mahali akan tertarik untuk berhijrah ke kelab itu,apabila masih terdapat kelab lain yang berminat untuk mendapatkannya? — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram