Sasaran Zamsaham disambut penyokong TRW, anggap Top 10 Liga Super realistik


  • Podium
  • Sabtu, 08 Okt 2022

Kehadiran Norizam Tukiman berjaya menyelamatkan Kelantan FC daripada terus bergelut dengan isu kewangan. — Facebook/TRW Kelantan FC

PERUBAHAN format Liga Malaysia yang diperkenalkan pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bakal menyaksikan sebanyak 18 pasukan bersaing berbanding 12 ketika ini.

Struktur baharu itu dijangka memberi lebih banyak tekanan kepada setiap pasukan apabila ia semestinya akan memberi ujian besar buat pihak kejurulatihan dan barisan pemain.

Oleh itu, mereka pasti akan melakukan persiapan awal dengan mencari wajah-wajah baharu bagi memperkuatkan lagi skuad untuk membolehkan mereka menamatkan saingan di kedudukan lebih baik.

Antara pasukan yang peminat bola sepak tempatan nantikan kepulangannya ialah Kelantan FC yang sudah beberapa tahun hilang dari kedudukan teratas liga domestik.

Kemelut kewangan yang dihadapi sejak 2016 menyaksikan pasukan itu gagal menampilkan persembahan terbaik di atas padang sehingga menyebabkan mereka akhirnya tersingkir ke Liga Perdana pada 2018.

Ia diburukkan lagi dengan penghijrahan bintang-bintang serta pemain muda, sekali gus memaksa The Red Warriors (TRW) menagih khidmat anggota skuad kurang berkualiti.

Namun, perkara itu kelihatan berubah dengan kehadiran pemilik baharu, Norizam Tukiman yang memberi sinar kegembiraan buat juara Liga Super pada 2011.

Pelaburan besar dan perancangan teliti yang dilakukan usahawan tempatan itu sejak 2020 sedikit sebanyak mengeluarkan TRW daripada terus bergelumang dengan masalah dana.

Musim ini, hasil usaha Norizam yang mesra disapa Zamsaham itu memang berbaloi apabila Kelantan FC menamatkan saingan Liga Perdana di kedudukan kedua.

303344056_7973349062735531_8859541724570359206_n

Penyokong TRW berharap pasukan itu terus berjaya dalam saingan Liga Super musim depan. Facebook/TRW Kelantan FC

Oleh itu, harapan pastinya menggunung daripada penyokong yang mengharapkan kepulangan pasukan itu dalam kancah Liga Super mampu meneruskan prestasi baik seperti dicatatkan musim ini.

Namun, ketika ditanya seorang penyokong, Abdullah Wan mengenai sasaran yang diletakkan untuk musim akan datang, Zamsaham memberi respons menerusi Facebook yang sedikit mengundang tanda tanya dalam kalangan penyokong.

"10 teratas Liga Super," jawab Zamsaham, ringkas.

Segelintir penyokong mula berasakan harapan yang diletakkan pemilik itu kurang memuaskan kerana mereka mengharapkan pasukan itu akan terus beraksi cemerlang musim depan.

Tetapi, tinjauan di platform media sosial mendapati majoriti penyokong masih melihat sasaran tersebut adalah sesuatu yang realistik bagi pencabar baharu Liga Super.

"18 pasukan ya kawan-kawan untuk musim depan, jadi 10 teratas boleh dikatakan satu pencapaian bagus untuk pendatang baharu. Lagipun, musim depan pasti ramai pemain-pemain baharu," kata Muhammad Adam.

"Perlu diingatkan, TRW ini masih merupakan satu pasukan yang kecil dengan dana terhad, jadi tidak perlu terburu-buru. Kalau sudah berhutang seperti berada di bawah Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dahulu, adakah kita akan yang akan menanggung?

"Jika kita lihat musim ini sekalipun, awalnya hanya sasarkan untuk kekal di Liga Perdana tetapi kita sendiri mampu layak ke Liga Super, jadi naib juara lagi," kata Mohd Sahfize Hafiz.

"10 teratas untuk pasukan baharu Liga Super musim depan boleh dikatakan sebagai sasaran boleh diterima. Mungkin, untuk musim 2024 nanti, baru boleh sasarkan lima teratas," kata Syaqir Yusof.

Ketika ini, pihak pengurusan Kelantan FC kelihatan sibuk untuk menambah baik kualiti skuad, baik dari segi kejurulatihan mahupun pemain setelah Liga Perdana melabuhkan tirainya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram