[VIDEO] 'Sek kito jange pecoh?' Aksi bergocoh sesama sendiri warnai pertembungan TRW-Kelantan United


  • Podium
  • Sabtu, 01 Okt 2022

Tangkap layar pemain serta pasukan kejurulatihan TRW dan Kelantan United menyerbu masuk padang angkara tidak berpuas hati malam tadi.

ISU pergaduhan dalam kalangan pemain bola sepak sudah menjadi lumrah, menyebabkan krisis yang berlaku memberi lebih tekanan ketika mereka beraksi di atas padang.

Terbaharu, Kelantan FC bukan sahaja gagal menjuarai Liga Perdana musim ini, malah tidak terkecuali terbabit dalam pergaduhan ketika perlawanan pada Jumaat.

Lebih menyedihkan, pergaduhan itu melibatkan kedua-dua kelab dari Kelantan.

Dalam perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV, dekat Kota Bharu, Kelantan itu, pasukan The Red Warriors (TRW) terikat seri 1-1 bersama seteru setempat, Kelantan United FC.

Pergaduhan yang berlaku pada masa kecederaan di separuh masa kedua itu bermula apabila penyerang Kelantan United, Njoku Jacob dijatuhkan di kawasan tengah padang.

Kekecohan itu mengakibatkan perlawanan tergendala sekitar 10 minit, apabila pemain serta pasukan kejurulatihan kedua-dua pasukan menyerbu masuk padang.

Sementara itu, pemain tuan rumah, Muhaimin Izuddin Muhammad Asri dan pemain Kelantan United, Nik Akif Syahiran Nik Mat turut dilayangkan kad merah semasa insiden pergaduhan tersebut.

Namun, pegawai perlawanan, Zulkarnain Zakaria berjaya menenangkan aksi tegang terbabit.

Keputusan perlawanan itu juga mengesahkan Kelantan FC sekadar berpuas hati dinobatkan sebagai naib juara Liga Perdana apabila mengumpul 37 mata hasil 11 kemenangan daripada 18 perlawanan.

Johor Darul Takzim (JDT) II pula sah menjulang trofi Liga Perdana musim ini apabila menewaskan Selangor FC II dengan kemenangan tipis 1-0 dalam satu lagi aksi pada Jumaat, sekali gus mengutip 42 mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram