Selepas aksi debut sempurna, Syaqimi Rozi diramal mampu raih gelaran bintang Kelantan FC


  • Podium
  • Isnin, 03 Okt 2022

Selepas beraksi dalam skuad Piala Presiden Kelantan FC, Syaqimi diberi kepercayaan ketika bertemu Kelantan United. — Facebook/TRW Kelantan FC

SELEPAS bertahun-tahun beraksi di Liga Perdana, Kelantan FC akhirnya menamatkan penantian untuk bermain di liga teratas domestik selepas menamatkan saingan di tangga kedua.

Kehadiran pemilik baharu, Norizam Tukiman yang juga mesra disapa Zamsaham dilihat berjaya mengubah takdir The Red Warriors (TRW) dengan menyelesaikan tunggakan gaji pemain.

Selain itu, Zamsaham juga berjaya mengubah wajah bekas juara Liga Super 2012 dengan pelaburan lumayan serta perancangan yang teliti dalam menghidupkan semula pasukan itu.

Kejayaan untuk membawa masuk wajah-wajah baharu dilihat sebagai pemangkin di atas kejayaan itu dengan sumbangan dan sentuhan setiap pemain ditagih.

Pemain seperti Felipe Hereda dan Kenta Hara jelas menjadi tonggak pasukan dengan kemampuan mereka berjaya memacu pasukan itu untuk menamatkan saingan sebagai naib johan.

Di samping itu, kemasukan pemain-pemain muda juga berjaya memberikan dimensi permainan baharu apabila rentak permainan mereka kelihatan lebih bersemangat dan bertenaga.

309255139_1004390757625842_3854009215640223996_n

Syaqimi Rozi (kiri) merupakan hasil program pembangunan bola sepak Kelantan. Media sosial

Antara yang disebut sebagai bintang dalam pembikinan ialah pertahanan kiri, Syaqimi Rozi yang diberikan kepercayaan ketua jurulatih, Rezal Zambery Yahya untuk diturunkan ketika berdepan Kelantan United FC.

Menurut satu perkongsian Kelantan - Pride and Soul, anak jati Pasir Pekan, Kelantan itu beraksi dengan cemerlang dan yakin dalam mengasak percubaan pasukan lawan.

"Debut yang sempurna buat pemain muda berbakat Kelantan FC, Syaqimi Rozi ketika menentang Kelantan United selepas dinaikkan pangkat dari skuad Piala Presiden.

"Dia kelihatan tidak gugup dan beraksi cukup baik di bahagian pertahanan selepas berjaya mematahkan beberapa serangan berbahaya pasukan lawan, satu aset masa depan Kelantan FC," katanya.

Lebih menggembirakan penyokong TRW lagi, Syaqimi sememangnya lahir daripada program pembangunan pasukan selepas juga pernah bermain untuk skuad Piala Belia pada 2020.

Oleh itu, peminat bola sepak Kelantan juga pasti tidak sabar untuk melihat sumbangan berterusan daripada pemain berusia 20 tahun itu dalam masa akan datang.

Bagi Ashraf Azmi, dia memuji ketangkasan dan gaya permainan yang matang daripada Syaqimi meskipun baru sahaja bergelar pemain muda dalam skuad TRW.

"Bagus dia ketika menentang Kelantan United, cukup tenang dalam pengawalan bola meskipun keadaan padang yang sedikit berlopak. Moga terus maju dalam mengembangkan karier," katanya.

Mohd Zaki Zaki pula berpendapat, Kelantan FC kelihatan sebagai medan terbaik untuknya mengasah bakat sebelum memilih untuk berhijrah ke kelab-kelab lain.

"Semoga terus bersama pasukan TRW terlebih dahulu. Mungkin, apabila sudah capai tahap terbaik, terpulang pada diri sendiri untuk membuat pilihan, tahniah anak muda," katanya.

Perkara itu turut disokong Che M Saufi yang juga berharap lebih banyak pendedahan diberikan kepada penyokong di atas ubi muda dalam skuad Kelantan FC.

"Terbaik pemain muda ini, teruskan momentum. Sesiapa yang menguruskan laman media sosial seperti ini bolehlah berkongsi lebih banyak maklumat sebegini bagi penyokong mengenali lebih ramai ubi muda," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram