PERGADUHAN melibatkan penyokong pasukan bola sepak seolah-olah menjadi norma, apabila masing-masing seakan-akan tidak mahu mengalah bagi mempertahankan pasukan kegemaran.
Perbalahan yang berlaku bukan sahaja sering dilihat di media sosial, malah pergaduhan antara ultras turut disaksikan ketika perlawanan sepak sedang berlangsung.
Baru-baru ini, dunia bola sepak dikejutkan dengan kematian lebih 180 penyokong dalam pertembungan antara Arema FC dan Persebaya Surabaya di Stadium Kanjuruhan, dekat Malang, Jawa Timur, Indonesia.
Perkara itu mendapat perhatian ramai, lebih-lebih lagi dari negara jiran yang mula memberi perhatian terhadap status keselamatan stadium.
Tangkap layar video aksi penyokong Perak FC dan Kelantan FC menceroboh padang.
Tidak cukup dengan itu, perlawanan Liga Perdana antara Perak FC dan Kelantan FC menyaksikan penyokong daripada kedua-dua pasukan bertindak menceroboh pada Ogos lalu.
Perkara sebegini mampu menjejaskan reputasi serta mengundang ancaman kepada orang ramai, yang ingin menyaksikan aksi pasukan kegemaran mereka secara langsung di stadium.
Jadi, penyokong dan masyarakat secara umum sudah semestinya mahu melihat perubahan bagi memastikan keselamatan mereka terjamin ketika menyaksikan perlawanan bola sepak.
Lantaran itu, salah seorang penyokong Kelantan FC atau The Red Warriors (TRW), Izzat Ilm mengutarakan soalan tentang langkah-langkah keselamatan yang boleh diambil oleh pasukan tersebut, bagi mengelakkan kejadian seperti yang berlaku di Malang berulang.
"Saya rasa penyokong bola Malaysia lebih berdisiplin, tapi penting juga kita ambil pengajaran," tulisnya di laman Facebook milik pemilik TRW, Norizam Tukiman.
Memuji soalan tersebut sebagai bijak, Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham berkata, pihaknya akan memastikan penambahbaikan untuk mendapatkan data penyokong sebelum masuk ke dalam stadium.
Selain itu, pihaknya juga akan menyenaraihitam penyokong yang melakukan provokasi dan anarkis.
"Kita akan melakukan kerjasama dengan lebih erat bersama pihak polis," tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram