BIARPUN hasrat Kelantan FC untuk meraih kemenangan terakhir sebelum Liga Perdana menutup tirainya pada musim ini tidak kesampaian, namun ia tidak bermakna segala usaha mereka akan lebur begitu sahaja.
Malah skuad The Red Warriors (TRW) akan diberikan sedikit imbuhan sebagai tanda penghargaan terhadap usaha yang mereka lakukan pada musim ini sehingga pasukan itu berjaya berada di kedudukan teratas liga untuk seketika.
Perkara itu dikongsi pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman yang berhasrat untuk menggunakan wang hasil jualan tanah miliknya sebagai tanda terima kasih bukan sahaja kepada pemain, malah jurulatih TRW.
"Sebab kami kalah semalam, jadi tawaran tanah lot banglo itu tidak jatuh ke tangan sesiapa. Tapi saya merancang untuk menjual tanah tersebut dan hasilnya saya akan jadikan bonus buat pemain-pemain dan jurulatih.
"Ini semua sebagai tanda terima kasih kepada usaha mereka pada musim ini. Buat penyokong pula, mungkin tahun depan saya akan rancang sesuatu buat mereka," katanya kepada Majoriti.
Peta kawasan dan tanah lot banglo yang mahu diberikan kepada pemain terbaik. — Facebook/Zamsaham
Terdahulu, Norizam atau lebih mesra dengan panggilan Zamsaham meluahkan hasrat untuk menghadiahkan tanah lot banglo kepada pemain terbaik TRW sekiranya pasukan itu menang ke atas Kelantan United di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bahru pada Jumaat.
Selain pemain terbaik, pelabur dari Johor itu menjelaskan bahawa pemain lain turut akan menerima bonus jika berjaya meraih tiga mata yang diharapkan.
Mengulas mengenai isu pergaduhan antara pemain Kelantan FC serta pemain Kelantan United pada perlawanan derby Kelantan itu, Norizam akui kesal namun perkara itu tidak perlu diperbesarkan.
"Ketegangan yang berlaku akibat salah faham. Saya pun dah tegur semua supaya lebih bertenang selepas ini," tambahnya lagi.
Sebagai rekod, skuad Kelantan menutup tirai Liga Perdana di tempat kedua setelah mengumpul 37 mata pada 18 perlawanan musim ini apabila seri 1-1 dengan Kelantan United. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram