Selain atas padang, 3 perkara Kelantan FC perlu diberi perhatian jika mahu terus gah


  • Podium
  • Selasa, 04 Okt 2022

Kejayaan untuk menamatkan Liga Perdana di tangga kedua membuktikan kebolehan The Red Warrior. — Facebook/TRW Kelantan FC

IMPIAN Kelantan FC untuk beraksi di samping pasukan-pasukan gergasi Liga Super akhirnya tercapai apabila mereka berjaya menamatkan saingan Liga Perdana di tangga kedua.

Selain perubahan struktur liga daripada pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), peluang untuk beraksi di tahap teratas domestik membuka lebih banyak peluang kepada pasukan itu.

Namun, di sebalik prospek untuk bermain di samping kelab-kelab gergasi Liga Super, persediaan demi persediaan wajar dilakukan bagi membolehkan The Red Warriors (TRW) menampilkan persembahan yang cemerlang.

Walaupun Kelantan FC memiliki pasukan lengkap baik dari segi pertahanan mahupun serangan, penambahbaikan masih perlu dibuat sebelum pembuka tirai musim depan.

Saingan lebih sengit daripada kelab Liga Super pasti membawa perbezaan apabila terdapat jurang kualiti di antara Kelantan FC dengan pasukan-pasukan lain.

Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya perbelanjaan besar dibuat pihak pengurusan dalam jendela perpindahan akan datang bagi membolehkan skuad itu lebih bersedia.

Bagaimanapun, di sebalik penekanan yang dibuat ke atas pemain di atas padang, perubahan juga perlu dilakukan terhadap pasukan secara menyeluruh untuk membawa pasukan Pantai Timur itu ke tahap yang lebih tinggi.

Selain membolehkan Kelantan FC meraih pelbagai kejayaan, penstrukturan semula yang mampu dilakukan pasti menarik lebih ramai penyokong untuk menyaksikan persembahan pasukan kesayangan mereka itu.

1. Stadium dan fasiliti

Ketika perlawanan penutup liga, Kelantan FC buat pertama kalinya dalam musim ini beraksi pada waktu malam selepas isu pencahayaan Stadium Sultan Muhammad ke-IV.

Pertembungan bersama sebuah lagi kelab negeri, Kelantan United FC sememangnya ditunggu-tunggu penyokong apabila terpaksa menunggu lama untuk menyaksikan persembahan TRW selepas berminggu-minggu aksi dihentikan.

Namun, perkara sebaliknya berlaku apabila lampu limpah yang dipasang dengan kos RM5.5 juta tidak berfungsi seperti diharapkan sehingga mengundang kritikan orang ramai.

Lebih teruk lagi, sistem pengaliran padang menyebabkan kedua-dua pasukan terpaksa bermain dalam keadaan berlecak dengan keadaan itu merencatkan tempo permainan.

stadium-sultan-muhammad-iv-gelap

Pencahayaan tidak memuaskan serta padang berlecak dikritik teruk penyokong TRW.

Oleh itu, perubahan segera perlu dilakukan Kelantan FC bagi mengelakkan perkara itu daripada terus berulang sehingga merosakkan reputasi yang cuba dibina.

Kedua-dua perkara itu wajar diberi perhatian sepenuhnya meskipun ia pasti menelan kos yang tinggi serta mengambil masa panjang dalam memastikan pelaburan dibuat berbaloi.

Kebebasan untuk beraksi di waktu malam pasti menarik lebih ramai penonton sekali gus membolehkan Kelantan FC mengaut lebih banyak keuntungan daripada penjualan tiket.

Bagi padang pula, pemasangan sistem pengaliran yang baik serta penggunaan rumput berkualiti juga mampu mengelak kerugian lebih besar apabila terpaksa membuat pembaikan setiap kali hujan lebat.

Perkara itu dapat dilihat daripada kualiti padang di Stadium Sultan Ibrahim, Johor dan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu yang sering diberikan pujian.

Jadi, selain pelaburan besar yang dibuat ke atas barisan pemain baharu, perubahan fasiliti dan kemudahan sekitar stadium juga perlu diberi perhatian sebelum tirai musim depan dibuka.

2. Pihak kejurulatihan

Hujung Ogos lalu, ketua jurulatih, Rezal Zambery Yahya dikatakan tidak akan mengendalikan TRW dalam Liga Super musim depan selepas berbangkitnya isu lesen kejurulatihan.

Perkara itu pasti merencatkan percaturan yang sedang diatur apabila pengendali berusia 43 tahun itu berjaya membimbing pasukan itu ke tahap lebih tinggi ketika ini.

Selain pendekatan taktikalnya membuahkan hasil, usianya yang masih muda membolehkan pihak pengurusan mengekalkan Rezal Zambery untuk jangka masa panjang.

Oleh itu, tindakan awal perlu diambil pihak pengurusan untuk mencari wajah baharu yang mampu menggalas tanggungjawab berat itu sekali gus membawa pulang kejayaan yang sudah lama diimpikan.

Namun, persoalannya, siapakah yang layak untuk mengisi kekosongan itu apabila penyokong juga pasti tidak sabar untuk mendapatkan jawapan dengan segera?

307206612_8056392724431164_2584043806445606023_n

Rezal Zambery dikhabarkan tidak akan mengendali Kelantan FC musim depan. Facebook/TRW Kelatan FC

Baru-baru ini, pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain dikatakan bakal meninggalkan skuad Sang Penyu bagi mengorak langkah dalam karier kejurulatihannya.

Sehingga kini, tiada perkhabaran baharu mengenai destinasi ketua jurulatih itu apabila salah satu pilihan, Selangor FC membawa masuk Tan Cheng Hoe.

Khabar angin juga kuat mengatakan bahawa Utara Semanajung akan menjadi tempat untuk Nafuzi dengan Kedah Darul Aman FC dikatakan mencari khidmat ketua jurulatih baharu.

Tetapi, tiada perkhabaran daripada mana-mana pihak akan perkara itu dan ini membuka peluang buat Kelantan FC menyambar pengendali berusia 43 tahun itu.

Usia muda Nafuzi seakan-akan mirip dengan ciri-ciri yang dimiliki Rezal Zambery dan perkara itu pastinya diberi perhatian pihak pengurusan dalam membuka lembaran baharu buat pasukan itu.

Namun, hanya mereka yang mempunyai jawapan dalam mencari pengganti sesuai bagi mengemudi nakhoda TRW yang bakal mengharungi saingan Liga Super yang semakin mencabar.

3. Pemantau bakat

Selepas melakukan perubahan di luar padang, pihak pengurusan akhirnya mampu memberi perhatian dalam aspek skuad bagi membolehkan pasukan itu beraksi dengan lebih cemerlang.

Pelaburan dan aktiviti ketika jendela perpindahan dilihat sebagai perkara getir yang perlu dilakukan bagi membawa masuk wajah-wajah baharu ke dalam skuad TRW.

Namun, sekiranya mereka tidak melakukan pemilihan pemain secara teliti, perbelanjaan itu bakal memberi impak yang besar kepada struktur kewangan pasukan.

Dalam mengelak perkara itu daripada berlaku, pihak pengurusan perlu mencari pasukan pemantauan bakat yang boleh diharap dalam mengenal pasti pemain sesuai.

Meskipun ia jarang diberi penekanan dalam kalangan kelab Liga Malaysia, langkah itu dilihat mampu membawa perbezaan, lebih-lebih lagi ketika jendela perpindahan.

WhatsApp Image 2022-10-03 at 21.50.55

Masih terdapat pelbagai penambah baikan yang perlu dibuat terhadap skuad TRW. Facebook/TRW Kelantan FC

Tidak cukup dengan itu, sekiranya mereka mempunyai pasukan pemantauan yang lebih sistematik, bakat-bakat baharu mampu dikenal pasti dengan lebih awal.

Pertandingan seperti Sukan Malaysia (Sukma) dan kejohanan Piala Presiden menjadi medan buat pemain muda dalam menonjolkan bakat serta meraih lebih banyak pengalaman.

Selain itu, Kelantan FC juga boleh meninjau bakat-bakat muda daripada Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

Oleh itu, sekiranya Kelantan FC memiliki pihak pengurusan yang lebih berkualiti, mereka pasti akan mengenal pasti pemain berpotensi untuk dibawa masuk ke dalam pasukan simpanan.

Selain itu, kemasukan pemain muda itu juga dilihat sebagai pendekatan yang kurang merugikan apabila yuran perpindahan ubi-ubi muda dipercayai lebih rendah berbanding bintang-bintang lain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram