DI sebalik perkhabaran yang menyatakan bahawa jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain bakal mengemudi Kedah Darul Aman (KDA) FC pada musim 2023, ada penyokong kelab lain yang masih menaruh harapan terhadap khidmat pengendali berusia 44 tahun itu.
Selain fans Terengganu FC sendiri yang mengharapkan Nafuzi kekal membimbing skuad Sang Penyu, sebuah lagi kelab Pantai Timur turut menagih khidmat pengendali dari Kelantan itu.
Seorang penyokong The Red Warriors (TRW), Hsni Rzmn berharap pengurusan Kelantan FC dapat menandatangani Nafuzi pada musim depan untuk memperkuatkan pasukan menghadapi saingan Liga Super.
Berikut lima sebab utama TRW perlu menyambar peluang mendapatkan khidmat Nafuzi sebagai ketua jurulatih yang kini di bawah kendalian Rezal Zambery Yahya.
Nafuzi dilihat calon sesuai untuk membimbing dan menggilap bakat pemain muda. — Facebook
1) Lahirkan star player
Nafuzi sudah terbukti mampu melahirkan star player dan ia selaras dengan objektif yang dikehendaki pemilik TRW, Norizam Tukiman atau juga dikenali sebagai Zamsaham.
Zamsaham menginginkan sebuah pasukan yang mampu melahirkan star player dan bukan beli star player yang tanda harganya mahal dan mungkin tidak berbaloi.
Ditambah dgn skuad TRW yang memiliki ramai pemain yang meningkat naik, Nafuzi dilihat calon sesuai untuk membimbing serta menggilap bakat pemain-pemain muda.
2) Anak jati
Nafuzi merupakan jurulatih kelahiran negeri Che Siti Wan Kembang. Dia yang juga pernah bermain untuk pasukan Kelantan dirasakan dapat memberi satu suntikan berbeza kepada skuad Kijang Merah.
"Sudah tentu aura Nafuzi berbeza jika bertugas di Kelantan," kata Hsni Rzmn lagi.
3) Tarikan penonton ke stadium
Aura penonton untuk ke stadium akan meningkat kerana Nafuzi terkenal dengan corak permainan cantik. Jurulatih muda itu memiliki signatur tersendiri yang disebut-sebut sebagai Nafuzi Ball.
Faisal Halim antara pemain yang cemerlang di bawah taktikal Nafuzi. — Facebook
4) Capai Top 5 Liga Super
Di bawah kendalian Nafuzi, Terengganu menunjukkan prestasi memberangsangkan selepas berjaya menduduki tangga keempat carta Liga Super dengan 32 mata setakat ini.
Dengan pencapaian itu, sasaran TRW untuk tersenarai sebagai Top 5 Liga Super adalah logik dan tidak mustahil dicapai. Ini kerana berdasarkan rekod, Nafuzi memiliki rekod baik di Liga Malaysia.
Ia terbukti selepas Terengganu berjaya ke pentas final Piala FA untuk berdepan gergasi bola tanah air, Johor Darul Takzim (JDT) dan menjadi naib juara.
5) Bawa pemain berbakat
Jika Nafuzi berhijrah ke mana-mana kelab yang diinginkan, dia mungkin boleh mengheret beberapa pemain berbakat untuk bersama dengannya di kelab baharu.
Ada beberapa pemain sudah tentu akan dibawa oleh Nafuzi yang mungkin dilihat sudah selesa dengan taktikal yang diketengahkan.
Sebagai contoh Faisal Halim, Shahrul Nizam, Hakimi Abdullah dan ramai lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram