GRADUAN yang dilahirkan oleh Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD) terbukti masih menjadi rebutan kelab-kelab Liga Malaysia (Liga M) meskipun kurang mendapat perhatian media secara meluas.
Akademi di bawah Pembangunan Bola Sepak Negara atau National Football Development Program (NFDP) itu pernah melahirkan pemain-pemain seperti Luqman Hakim, Harith Haikal, Sikh Izhan dan Zikri Khalili.
Mengikut jejak langkah alumni AMD itu, pelatih-pelatih akademi berkenaan sekali lagi mendapat kerpercayan dari beberapa kelab Liga M termasuklah pasukan gergasi Malaysia.
Satu ciapan yang ditulis OnefootballM melaporkan bahawa sebanyak lima kelab Liga M bakal memberi kontrak kepada bakal graduan AMD bagi membantu mereka meneruskan lagi karier bola sepak profesional.
Antara nama besar yang bakal merekrut pelatih-pelatih tahun akhir itu adalah Johor Darul Takzim (JDT), Kedah Darul Aman (KDA) FC, Selangor FC, Terengganu FC (TFC) dan skuad Projek FAM MSN.
Luqman Hakim kini bermain bersama K.V. Kortrijk. — Facebook/FAM
“Difahamkan kelab Liga Super akan memberi kontrak dalam masa terdekat kepada pelatih tahun akhir di Akademi Mokhtar Dahari ! Selamat Maju Jaya!,” tulisnya.
Bagaimanapun, timbul persoalan penyokong tentang dua buah pasukan yang pernah menyatakan minat terhadap bakat pemain muda iaitu Perak FC dan Kelantan FC.
Sebelum ini pemilik The Red Warrios (TRW) Norizam Turkiman dan ketua jurulatih, Lim Teong Kim pernah menyatakan minat untuk menggunakan khidmat pemain-pemain muda bagi membarisi skuad utama mereka.
Teong Kim (kiri) mahu memberi peluang kepada lebih ramai pemain muda tempatan beraksi di peringkat tertinggi. — Facebook/Perak FC
"Perak FC akan memberi lebih tumpuan kepada pemain muda tempatan berbanding import dalam kancah Liga M musim depan,” kata Teong Kim memetik laporan Berita Harian.
Malah khabar angin semakin kuat mengatakan Teong Kim akan membawa pulang Luqman untuk beraksi bersama Perak FC memandangkan pemain muda itu kurang mendapat tempat bersama pasukannya, K.V. Kortrijk.
Walaupun pemilik Kelantan FC, Norizam tidak menyatakan secara terbuka mahu kelabnya menggilap bakat muda, tetapi dia pernah menyuarakan hasrat melihat kelabnya dibarisi anak jati Kelantan,
"Pihak pengurusan berminat untuk membawa masuk pemain-pemain kelahiran Kelantan yang sedang bermain di kelab-kelab Liga Malaysia bagi menambah baik pasukan.
"Cuma walaupun ada juga anak jati Kelantan yang memang berminat untuk menyertai kami, perbincangan mengenai gaji antara kedua-dua pihak masih perlu dilakukan kerana ia adalah satu perkara yang perlu diselesaikan," katanya kepada Majoriti sebelum ini.
Selain dua kelab itu, Sabah juga disaran untuk disaran untuk mengambil pemain-pemain AMD kerana kehebatan jurulatih Sabah, Datuk Ong Kim Swee dalam mengasah lagi bakat pemain-pemain muda.
Ini dibuktikan ketika Kim Swee membimbing skuad Harimau Muda A untuk memenangi gelaran Liga Perdana selain juara Sukan SEA 2017.
Selain faktor jurulatih, Sabah FC juga boleh mendapatkan produk AMD untuk menggantikan beberapa pemain senior.
Sebelum ini beberapa penyokong ada menyatakan prestasi Sabah FC merudum disebabkan aksi kurang cemerlang pemain-pemain senior. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram