MESKIPUN Liga Malaysia (Liga M) musim 2022 belum berakhir, namun misi memburu pemain baharu bagi saingan musim depan terus hangat dibicarakan dari hari ke hari.
Dengan struktur baharu yang diperkenalkan Malaysia Football League (MFL) yang menyaksikan sebanyak 18 pasukan bakal berentap bagi saingan Liga Super, pasti membuatkan majoriti kelab merancang untuk memburu pemain berkualiti musim depan.
Oleh itu, kelab-kelab yang bertanding akan memastikan mereka bersedia apabila mereka perlu mengharungi 34 perlawanan sepanjang musim berbanding 22 aksi ketika ini.
Sebelum ini, pemilik The Red Warriors (TRW), Norizam Tukiman atau juga dikenali sebagai Zamsaham pernah menyatakan hasrat untuk membawa masuk pemain yang berkualiti bagi memperkuatkan pasukan Kelantan pada musim hadapan.
“Setakat ini, kami sedang mencari pemain import yang sesuai, tetapi saya masih belum boleh memberikan senarai pendek pemain yang kami mahu kerana masih terlalu awal,” jelas Zamsaham.
Tidak hairanlah, seorang penyokong Kelantan, Sudah Takdir Begitu meluahkan hasratnya untuk melihat Zamsaham menandatangani Anthony Nwakaeme iaitu adik bekas pemain import TRW, Dickson Nwakaeme.
“Kalau Bos Zam ambil Anthony Nwakaeme ini confirm pergi Bukit Jalil tahun depan,” luahnya di laman Facebook.
Seorang lagi penyokong TRW, Cik Mi Molek pula menambah: "Kalau nak pegi Bukit Jalil musim depan, Bos Zam kena beli adik Nwakaeme ni. Dia memang legend. Tengok abangnya dulu main kat sini pun sudah cukup."
Anthony membuat penampilan sulung untuk pasukan kebangsaan Nigeria menentang Algeria dengan keputusan seri 1–1 untuk kelayakan Piala Dunia 2018. — Agensi
Untuk rekod, Anthony pernah mencipta nama di Liga Super Turkiye bersama Trabzonspor sejak 2018 hingga 2022.
Pada 2020, penyerang kelahiran Nigeria itu pernah membantu kelabnya muncul juara Piala Turkiye.
Musim lalu, dia berjaya melakukan 27 penampilan dan menjaringkan 11 gol dan 10 bantuan gol untuk membantu kelabnya muncul juara liga.
Pemain berusia 33 tahun itu bermain di posisi sayap kiri dan dia juga pernah dipanggil untuk beraksi bersama skuad antarabangsa Nigeria.
Lebih menarik perhatian penyokong tempatan, abang kandungnya, Dickson Nwakaeme pernah mencipta nama bersama dua pasukan gergasi tanah air sebelum ini iaitu Kelantan dan Pahang.
Dickson (tengah) antara penyerang yang digemari oleh penyokong Kelantan FC. — Agensi
Dickson menyertai kancah Liga Malaysia pada 2013 dengan skuad Kelantan dan terus menjadi antara penyerang yang digemari di Kota Bharu.
Bersama Kelantan, pemain itu berjaya membantu skuad Kijang Emas menjuarai Piala FA pada musim 2013 dan antara aksi terbaiknya ialah ketika membawa Kelantan ke final Piala FA 2013.
Sepanjang Dickson beraksi di Liga M, dia diberi gelaran orang besi kerana faktor fizikal dan kekuatan yang dimilikinya.
Selain itu, Dickson berjaya menjulang Piala Malaysia dan Piala FA bersama Pahang.
Selepas itu karier Dickson melonjak ke peringkat lebih tinggi apabila menerima tawaran daripada kelab Liga Perancis, Angers. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram