KEMELUT kewangan dan pengurusan yang dialami Melaka United FC (MUFC) menemui jalan buntu apabila perbadanan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan pasukan itu tidak akan beraksi dalam saingan Piala Malaysia 2022.
Isu tunggakan gaji pemain dan barisan kejurulatihan yang berlanjutan selama tiga bulan itu pada awalnya diumumkan pihak Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) yang mendesak perkara itu segera diselesaikan.
Perkara itu telah mengundang perhatian peminat bola sepak tempatan sebelum pihak MFL pada 6 September mengumumkan perbincangan di antara pihak pengurusan dan pemain perlu diadakan bagi menyelesaikan pembayaran sebelum 20 September.
Namun, tiada tindakan diambil untuk mencapai kata persetujuan bersama pemain sekali gus memaksa pihak MFL bertindak menyekat penyertaan skuad Hang Tuah dalam kejohanan tersebut.
Perkara itu pasti membawa perasaan kurang senang dalam kalangan penyokong yang kecewa dengan persembahan dipamerkan di atas padang, apatah lagi apabila pasukan itu ketika ini berada di tangga kesembilan Liga Super.
Selain itu, barisan pemain juga pastinya terkesan dengan keputusan itu apabila peluang untuk bermain dalam Piala Malaysia terpadam meskipun sudah layak berdasarkan merit penyertaan.
Dalam mendapatkan keadilan, pemain pertahanan MUFC, Haziq Puad pada Jumaat memohon kelonggaran daripada pihak MFL untuk memberi pelepasan kepada pemain untuk beraksi dalam kejohanan itu bersama pasukan lain.
Jelasnya, perkara itu adalah untuk memastikan kebajikan mereka terjaga selain membuktikan kebolehan masing-masing dalam pasukan yang mempunyai peluang dalam kejohanan tertua di rantau Asia itu.
Meskipun perkara itu adalah cuma satu cadangan, beberapa pemain dalam skuad Hang Tuah kelihatan mampu beraksi bersama pasukan lain yang berjaya melayakkan diri dalam saingan Piala Malaysia.
1. Ifedayo Olusegun
Memulakan senarai ialah pemain yang boleh dikatakan sebagai bintang bersinar dalam skuad Hang Tuah meskipun pasukan itu tidak berada dalam prestasi terbaik mereka ketika ini.
Penyerang kelahiran Nigeria, Ifedayo Olusegun bukan sahaja berjaya menempa namanya dalam arena bola sepak tanah air musim ini, malah kehadirannya cukup digeruni benteng pertahanan pasukan di Liga Malaysia.
Setelah membawa pulang dua gelaran Kasut Emas ketika beraksi bersama Selangor FC, Ifedayo kemudiannya menyertai MUFC dalam melebarkan lagi kemampuannya dalam sukan itu.
Perkara itu jelas membuahkan hasil apabila penyerang berusia 31 tahun itu berjaya menyumbang tujuh gol dalam Liga Super selain mencipta dua lagi hantaran buat rakan sepasukan.
Bukan itu sahaja, sumbangan menyeluruh Ifedayo membuatkannya satu aset yang tidak boleh disia-siakan apatah lagi buat pasukan dengan cita-cita untuk menjulang trofi Piala Malaysia.
Mampukah Selangor FC menarik minat Ifedayo untuk pulang ke pasukan Lembah Klang itu?
Meskipun sudah sedikit berusia, pengalaman penyerang berjersi no. 12 itu menjadi salah satu kelebihan untuknya mengelirukan pihak lawan dengan gerakan licik.
Persoalannya, pasukan manakah yang boleh menerima kehadiran Ifedayo melihat kepada usia dan permintaan gajinya yang sedikit tinggi berdasarkan kemampuannya ketika ini?
Bekas majikannya, Selangor FC kelihatan sebagai destinasi yang munasabah walaupun sudah mempunyai penyerang kelahiran Brazil, Herlison Caion dan Hyuri Henrique.
Namun, ciri-ciri dan kelebihan yang dimiliki Ifedayo membolehkan skuad Gergasi Merah diturunkan dengan gandingan dua peledak bagi menambah ancaman kepada pasukan lawan.
Tidak cukup dengan itu, prestasinya bersama Selangor FC sukar untuk dilupakan penyokong setelah dia berjaya menyumbat 50 gol dalam 43 perlawanan.
Oleh itu, Selangor FC kelihatan sebagai salah satu destinasi yang tepat buat Ifedayo sekiranya pihak MFL terbuka untuk membenarkan pemain MUFC beraksi dalam pasukan lain.
2. Norazlan Razali
Tidak boleh dinafikan, penjaga gawang kelahiran Selangor, Bryan See diberikan lebih banyak kepercayaan berikutan prestasinya yang konsisten dalam liga.
Setelah menyertai daripada Penang FC, Bryan tidak memerlukan masa untuk memastikan posisi itu adalah miliknya selepas pemulaan karier yang memberangsangkan pada awal musim 2022.
Namun, kebelakangan ini, penjaga gol 29 tahun tersebut mula menunjukkan prestasi yang merudum setelah dibolosi sebanyak 12 kali dalam tiga perlawanan.
Norazlan Razali mampu menjadi sandaran kepada pasukan untuk tugas penggiliran. — Facebook/Melaka United FC
Oleh itu, ketua jurulatih, Asri Ninggal meletakkan kepercayaan kepada pemain senior, Norazlan Razali dalam pertembungan bersama Kuala Lumpur (KL) City FC dalam perlawanan ke-18 mereka dalam liga.
Pasukan Lembah Klang itu sememangnya terkenal apabila memiliki barisan serangan yang berbahaya seperti Paulo Josue dan Jordan Mintah dan ia kelihatan sebagai satu tanggungjawab yang besar buat penjaga gol berusia 36 tahun itu.
Tetapi, sepanjang 90 minit perlawanan, Norazlan membuktikan keupayaannya dalam memberi kebuntuan kepada pasukan kendalian Bojan Hodak untuk menjaringkan satu gol.
Keberanian pemain kelahiran Johor itu juga terserlah apabila dia tangkas menampan dan mengeluarkan bola daripada hantaran lintang yang kelihatan mengancam gawang golnya.
Prestasi itu pastinya mengundang minat daripada pasukan-pasukan lain yang memerlukan khidmat penjaga gol simpanan dengan kualiti dan pengalaman untuk terus mara dalam saingan Piala Malaysia.
Tidak cukup dengan itu, usia Norazlan yang semakin berusia memberikan gambaran bahawa dia terbuka untuk menjadi pilihan kedua untuk memberikan peluang kepada mereka yang lebih muda.
Antara pasukan yang boleh menggunakan khidmat Norazlan ialah Sabah FC apabila pasukan itu pastinya mahu menamatkan penantian untuk menjulang sebuah trofi.
Meskipun mereka mempunyai Khairul Fahmi Che Mat dan Damien Lim, kedua-dua mereka mengharungi satu kempen yang sukar dengan prestasi yang tidak konsisten.
Oleh itu, pengambilan secara pinjaman buat Norazlan dilihat sebagai satu suntikan buat skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee sekiranya mereka berhasrat untuk beraksi dengan cemerlang dalam kejohanan itu.
3. Justin Baas
Dalam saingan Liga Super, MUFC mempunyai salah satu rekod pertahanan tercorot apabila mereka sudah dibolosi sebanyak 31 kali dalam 18 perlawanan
Persembahan kurang bermaya daripada kesemua pemain di atas padang menjadi punca di atas prestasi barisan pertahanan yang terpaksa memikul tanggungjawab besar.
Rekod pertahanan itu dilihat semakin teruk apabila pemain import, Justin Baas dikatakan tidak berada dalam skuad sehingga menyaksikan pasukan itu semakin mudah dibolosi.
Meskipun status kontrak Baas masih berada di awangan, tindakan awal daripada mana-mana pasukan Liga Malaysia boleh menambah baik kejituan barisan pertahanan mereka secara keseluruhan.
Ketinggiannya yang ideal ditambah pula dengan kemahiran untuk meneliti gerak geri lawan menjadi aset utama buat pemain kelahiran Filipina tersebut.
Keberadaan Justin Baas pastinya diberi perhatian pihak pengurusan pasukan Liga Malaysia. — Facebook/Melaka United FC
Tidak cukup dengan itu, pengalaman yang dimiliki ketika beraksi bersama kelab remaja Belanda, AZ Alkamaar membolehkannya dikenali sebagai salah satu pemain pertahanan import yang boleh dimanfaatkan pasukan.
Dalam kalangan pasukan yang bakal berentap dalam Piala Malaysia, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) kelihatan sebagai destinasi yang sesuai buat Baas sekiranya dia berhasrat untuk beraksi dalam kejohanan itu.
Gandingannya bersama pemain kelahiran Andorra mampu menambah baik prestasi pertahanan skuad Sang Kenari yang telah dibolosi sebanyak 27 kali musim ini.
Dengan kehadiran pemilik baharu, khidmat Baas boleh didapatkan secara pinjaman sementara sekiranya kontrak bersama MUFC masih tidak ditamatkan.
4. Wan Amirul Afiq
Pada penghujung Ogos lalu, pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman berhasrat untuk mendapatkan khidmat anak jati negeri itu bagi musim depan yang lebih sengit.
Langkah itu dilihat sebagai satu perkara yang wajar dilakukan, lebih-lebih lagi apabila terdapat lambakan pemain Kelantan yang ketika ini sedang berkhidmat buat beberapa pasukan di Liga Malaysia.
Antaranya, Wan Amirul Afiq Wan Abdul Rahman yang sedang dihimpit isu tunggakan gaji daripada pihak pengurusan Hang Tuah sehingga menyebabkan kebajikannya terjejas.
Pemain pertahanan kanan itu dilihat sebagai salah satu tonggak yang boleh menyertai The Red Warriors walaupun untuk beberapa perlawanan dalam kejohanan Piala Malaysia.
Usia pastinya tidak menjadi penghalang buat Wan Amirul Afiq. — Facebook/Melaka United FC
Meskipun menghadapi situasi yang sama seperti Justin Baas, kegoyahan pasukan secara keseluruhan menjadi punca di atas kesukaran skuad MUFC dalam mengekang serangan pihak lawan.
Selain itu, usianya yang sudah menjangkau 30-an menjadi aset buat Kelantan FC yang sedang mencari kejuaraan pertama sejak disingkirkan daripada saingan Liga Super pada 2015.
Dalam saingan Liga Perdana pula, Kelantan FC kelihatan sebagai salah satu pasukan yang lengkap dan bersemangat apabila rekod pertahanan mereka tampak cemerlang.
Namun, perkara itu pastinya berbeza apabila mereka bakal menghadapi saingan getir daripada pasukan Liga Super pada peringkat kumpulan dan kehadiran Wan Amirul mampu mencetuskan perubahan.
5. Wan Zaharulnizam
Seperti yang dikatakan awal tadi, Kelantan FC pasti menggunakan peluang beraksi dalam Piala Malaysia 2022 untuk menilai kemampuan dan kesesuaian pemain ketika berdepan pasukan Liga Super.
Meskipun mereka beraksi dengan cemerlang dengan menduduki tangga kedua Liga Perdana, kemasukan pemain berpengalaman mampu menambah ketajaman buat pemain The Red Warriors.
Kehadiran penyerang tempatan, Nurshamil Abd Ghani dan pemain import, Nixon Guylherme mampu menyuntik perubahan ketara sekiranya pihak pengurusan berjaya menyuntik elemen pengalaman ke dalam pasukan itu.
Oleh itu, mereka tidak perlu runsing apabila seorang lagi anak jati, Wan Zaharulnizam Zakaria kelihatan sebagai salah seorang yang mampu memberikan dorongan kepada barisan serangan.
Kepercayaan yang diberikan Asri Ninggal dan ketua jurulatih terdahulu, Datuk Zainal Abidin Hassan ke atas pemain itu jelas memberikan kelebihan apabila dia menyumbangkan tiga hantaran gol musim ini.
Wan Zaharulnizam mampu menambah elemen pengalaman ke dalam skuad The Red Warriors. — Facebook/Melaka United FC
Walaupun sesetengah pihak melihat pulangan itu tidak memberangsangkan, pengalaman pemain berusia 31 tahun itu dilihat sebagai satu kelebihan buat Kelantan FC.
Tidak cukup dengan itu, semangat sebagai seorang anak jati mampu memacu The Red Warriors ke satu tahap yang lebih tinggi meskipun mereka masih baru sahaja pulih daripada episod gelap.
Selain itu, Wan Zaharulnizam juga boleh digunakan sebagai pemain gantian sekiranya dia berasakan sumbangannya di atas padang semakin terhad berikutan usianya itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram