Zamsaham buka pekung, KAFA sahkan terima surat


  • Podium
  • Ahad, 25 Sep 2022

Ahli usahawan, Norizam Tukiman sudah mengambil tindakan undang-undang di atas isu kelewatan pembayaran itu. — Bernama

PEMILIK Kelantan FC, Norizam Tukiman melakukan pendedahan menerusi laman Facebook peribadinya pada Ahad bahawa pihaknya mengeluarkan surat saman ke atas Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

Ahli perniagaan yang juga dikenali sebagai Zamsaham itu berkata, tindakan itu dibuat apabila persatuan tersebut tidak menjelaskan bayaran hutang sebanyak RM3.93 juta.

"Memang benar saya saman KAFA kerana gagal membayar hutang sebanyak RM3.93 juta. Asal hutang mereka adalah RM3.8 juta tetapi naik kepada RM3.93 juta kerana mereka meminta tambahan pinjaman.

"Tetapi, setakat hari ini, satu sen pun belum dipulangkan kepada saya," tulisnya dengan menyertakan tanda pagar #SamanKAFA dan #DemiTRW.

WhatsApp Image 2022-09-25 at 17.50.56

Hantaran yang dibuat Norizam Tukiman menerusi laman Facebook peribadinya.

Tidak lama selepas itu, satu lagi hantaran dibuat dengan mengeluarkan kenyataan media yang menjelaskan tindakan undang-undang bakal diambil di atas kelewatan pembayaran itu.

"Oleh itu, kami mengarahakan peguam Kelantan FC, Tetuan Sheffie & Partners untuk memfailkan saman di mahkamah terhadap KAFA bagi jumlah pinjaman di mana saman tersebut di dalam proses penyerahan ke atas kesemua jawatankuasa KAFA yang berdaftar," katanya.

Sebelum ini Zamsaham difahamkan membayar RM6.8 juta semasa proses mengambil alih pasukan Kelantan FC dari persatuan tersebut pada September 2020.

Sementara itu, Setiausaha Agung KAFA, Husin Deraman berkata, pihaknya sudah menerima surat saman dan sedang dalam proses untuk menyelesaikan isu itu.

"Ya, sudah diterima dua minggu lepas dan peguam KAFA sedang mengkaji kes ini," katanya ketika dihubungi Majoriti.

KAFA sebelum ini juga bergelut dengan isu kewangan apabila media pada Mac 2022 melaporkan baki bayaran 11 bekas pemain Kelantan FC masih tidak diselesaikan. Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram