BERIKUTAN masalah tunggakan gaji melibatkan pemain dan pegawai Melaka United FC (MUFC), skuad Hang Tuah terpaksa melupakan hasrat untuk bersaing dalam kempen TM Piala Malaysia 2022.
Perkara itu disahkan sendiri oleh Malaysian Football League (MFL) melalui laman Facebook rasmi mereka pada Rabu selepas pihak pengurusan Melaka tidak melunaskan bayaran gaji mengikut tarikh yang ditetapkan.
Keputusan itu pastinya memberi kesan yang besar terhadap moral pemain dalam meneruskan perjuangan mereka bersama pasukan itu apabila kebajikan masing-masing tidak terjaga.
Dengan jendela perpindahan semakin hampir, beberapa pemain pastinya kini dalam misi untuk mencari pasukan baharu bagi meneruskan karier dalam sukan tersebut.
Tahun ini merupakan tahun keempat Wan Amirul bersama MUFC. — Facebook MUFC
Dalam masa sama, beberapa pihak pengurusan pasukan Liga Malaysia pasti mengambil kesempatan untuk menyambar pemain berkualiti yang pastinya tidak teragak-agak untuk meninggalkan skuad Hang Tuah.
Pemain pertahanan MUFC, Wan Amirul Afiq Wan Abdul Rahman menjadi antara pemain pilihan dalam senarai penyokong Kelantan FC bagi membarisi pasukan itu musim depan.
Penyokong The Red Warriors (TRW) juga menyatakan pemain kelahiran Tumpat itu sesuai dengan pendekatan pemilik, Norizam Tukiman yang menginginkan anak jati Kelantan beraksi bersama Kelantan FC.
“Wan Amirul Afiq, pertahanan kental Melaka United asal Tumpat Kelantan, anda rasa Bos Zam boleh sign kontrak pemain ini. Darah muda, anak jati Kelantan, ketinggian sama tahap pemain import! Memandangkan Melaka United tengah ada masalah, inilah masanya untuk Kelantan ambil peluang bawa balik anak jati Kelantan,” tulis penyokong TRW, Shah Dx.
Terdahulu, Norizam atau juga dikenali sebagai Zamsaham menyatakan berminat untuk membawa masuk pemain-pemain kelahiran Kelantan yang sedang bermain di kelab-kelab Liga Malaysia bagi menambah baik pasukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram