Keringat anak jati Johor bantu JDT II julang trofi Liga Perdana


  • Podium
  • Ahad, 02 Okt 2022

Aksi pemain JDT II ketika menentang Selangor II pada Jumaat. — Facebook/JDT

SELEPAS menewaskan Selangor II 1-0 pada Jumaat, Johor Darul Takzim (JDT) II berjaya dinobatkan sebagai juara Liga Perdana buat kali pertama.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium UiTM, Shah Alam, Selangor, gol tunggal Daryl Sham George di awal separuh masa kedua memastikan kemenangan buat skuad bimbingan Mariano Echeverria.

Setiap musim, sudah tentu ada pemain yang dijulang sebagai 'hero' dan menjadi tunjang pasukan sepanjang musim dalam memastikan sesebuah kejayaan mampu dicatatkan.

Bagi JDT II, mereka juga memiliki barisan pemain yang dianggap sebagai tulang belakang dalam memacu pasukan itu dalam edisi terakhir Liga Perdana dengan menepikan cabaran pasukan lawan.

Lebih-lebih lagi, kesemua pemain yang dijulang namanya merupakan anak tempatan, sekali gus memberi bayangan bahawa sumbangan mereka mampu dirasai pasukan kebangsaan dalam masa akan datang.

1) Feroz Baharudin

EwXi06eUYAQJxqc

Feroz mempunyai ciri fizikal ideal dalam membantu JDT II. — Facebook/JDT

Dalam 18 perlawanan liga yang dihadapi, JDT II mencatatkan rekod pertahanan cemerlang apabila hanya dibolosi sebanyak 13 kali dengan ia merupakan jumlah terendah.

Antara tonggak pertahanan kental ialah pemain pertahanan berusia 22 tahun, Feroz Baharudin yang mempunyai ciri fizikal ideal dalam membantu pasukan tersebut.

Berketinggian 1.75 meter, pemain muda itu mula bermain untuk skuad JDT II sejak 2020 dan prestasinya itu pasti membuka jalan cerah bagi membolehkannya beraksi dalam skuad senior tidak lama lagi.

Selain itu, dia juga merupakan anak kelahiran Kota Tinggi, Johor dan hal itu semestinya menambah keceriaan buat penyokong apabila ia dilihat sebagai satu lambang kebanggaan.

Ketika ini, Feroz dinilai sebanyak RM227,000 oleh laman sesawang transfermarkt berikutan prestasi dan usianya yang masih muda dalam sukan bola sepak.

2) Daryl Sham

1707866

Daryl menjaringkan sembilan gol pada musim ini. — Facebook/JDT

Daryl Sham merupakan produk Akademi Kelab Bolasepak Johor Darul Takzim yang membuat penampilan sulung dalam skuad senior dan turut menjaringkan satu gol ketika perlawanan Piala FA 2022 antara JDT dan BRM FC di Stadium Sultan Ibrahim pada 13 Mac 2022.

Sejak itu perjalanan kariernya dalam arena bola sepak tanah air semakin meningkat.

Daryl berkongsi kedudukan dengan penyerang Kelantan, Nurshamil Abdul Ghani sebagai penjaring tempatan terbanyak Liga Perdana apabila masing-masing menjaringkan sembilan gol.

Selain itu, pemain pertahanan berusia 19 tahun itu turut diberi kepercayaan oleh pengendali JDT II, Raul Mariano untuk membarisi kesebelasan utama skuad Merah Biru pada setiap perlawanan Liga Perdana musim ini.

3) Umar Hakeem

b3be3ff32f240a3ead9a80c3e89790d5f5feb3d6

Umar dijangka diikat dengan kontrak jangka panjang bagi membolehkannya diserap ke pasukan senior. — Agensi

Meskipun mempunyai bakat serangan dan limpahan benteng pertahanan berbakat, pemain tengah ini juga wajar diberi perhatian bagi satu-satu pasukan dalam meraih kejayaan.

Bagi JDT II, anak kelahiran Batu Pahat, Johor, Umar Hakeem dilihat sebagai 'enjin' buat pasukan dalam mengawal rentak dan merencanakan jentera serangan.

Umar yang berusia 20 tahun itu mula menyertai JDT II pada tahun 2020 dan dengan bakatnya yang diasah membolehkan pasukan negerinya menghasilkan lebih ramai pemain muda.

Pemain tengah tersebut dinilai pada harga RM227,000 menurut transfermarkt, sekali gus memberi amaran kepada pasukan lain sekiranya berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Meskipun Umar tidak mendapat perhatian seperti Daryl dan rakan sepasukannya yang lain, pihak kejurulatihan pasti memahami akan sumbangan dan kehadirannya di atas padang.

Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya Umar bakal diikat dengan kontrak jangka masa panjang bagi membolehkannya diserap ke pasukan senior dalam meneruskan legasi yang cuba dibina. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram