Idam ‘result’ positif lawan PJ City, Aidil Sharin harap dapat 'pancing' penyokong ke stadium masa jumpa JDT


  • Podium
  • Jumaat, 30 Sep 2022

Pemain KDA FC giat kembali menjalani latihan bagi persiapan menghadapi PJ City FC malam esok selepas saingan Liga Super berehat dua minggu. — Facebook/KDA FC

KEDAH Darul Aman (KDA) FC memburu kemenangan ke atas Petaling Jaya City FC pada saingan Liga Super 2022 di Stadium Darul Aman, Kedah pada Sabtu dalam usaha mengekalkan rekod tiga kemenangan berturut-turut yang diperoleh sebelum ini.

Pengendalinya, Aidil Sharin Sahak berkata, momentum tersebut diperlukan oleh Sang Kenari sebelum menerima kunjungan dua pasukan gergasi tanah air, JDT pada 4 Oktober dan Terengganu FC pada 15 Oktober di laman sendiri.

Menurutnya, KDA FC juga akan melalui dua aksi yang bukan mudah apabila bertandang ke Paroi pada 7 Oktober bertemu Negeri Sembilan sebelum sekali lagi bertemu JDT pada 11 Oktober di Iskandar Puteri, Johor.

"Kita perlu mendapat keputusan positif pada aksi menentang PJ City, tidak boleh kehilangan mata kerana perlu belajar dari aksi lalu apabila lawan berjaya bangkit menyamakan kedudukan.

"Aksi ini juga sukar namun KDA FC perlu fokus untuk konsisten mengekalkan tiga aksi menang sebelum ini. Tiada yang mustahil tapi kita mesti kerja kuat lagi, pemain dah buktikan. JDT juga pernah beraksi di laman lawan dan mereka kehilangan mata dan kita perlu sahut cabaran ini," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Jelas Ketua Jurulatih dari Singapura itu, semua pemain perlu fokus dari satu perlawanan ke satu perlawanan selain berusaha untuk meningkatkan mentaliti masing-masing.

"Jadi setiap kesempatan yang ada untuk aksi di laman sendiri ini perlu kami manfaatkan sepenuhnya kerana jika tidak, penyokong juga akan kecewa dan akan memberi kesan pada kehadiran ke stadium untuk perlawanan seterusnya menentang JDT," ujar beliau lagi. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

KDA FC, Liga Super, Aidil Sharin Sahak,