DESAS-DESUS mengenai perpindahan pemain sayap Terengganu FC II (TFC II), Muhammad Muslihuddin Atiq Mat Zaid ke Johor Darul Takzim dilihat bermula setelah dia mempamerkan aksi cemerlangnya pada saingan temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022 baru-baru ini.
Pada kempen temasya dwitahunan itu, bekas penyerang Bawah 19 Tahun (B-19) kebangsaan tersebut berjaya menyumbat tiga gol bersama Terengganu sekali gus membantu pasukan tersebut meraih 'ibu emas'.
Perpindahan itu dimaklumkan sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan kerajaan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah yang berkongsi dengan media bahawa pemain berusia 21 tahun itu kini sedang dirisik skuad Harimau Selatan.
Namun, Johor Darul Takzim pantas menepis dakwaan bahawa mereka sudah mengemukakan tawaran bagi mendapatkan khidmat Atiq.
Menurut Pengarah Teknikal Kelab Bola Sepak Johor Darul Takzim, Alistair Edwards, JDT sedang dalam perbincangan dengan beberapa pemain luar negara dan berkemungkinan akan menandatangani seorang pemain tempatan, tetapi pemain tersebut bukanlah Atiq.
Biarpun kenyataan Edwards seolah-olah memadam impian Atiq, namun ia membuka harapan kepada pemain tempatan lain terutama apabila terdapat potensi bahawa mereka diburu kelab gergasi Liga Malaysia itu.
Memandangkan JDT tidak putus-putus menjadi medium terbaik menggilap bintang dalam pembikinan agar menyinar bersama mereka, berikut adalah beberapa pemain hebat tapi 'underrated' yang mungkin berada dalam radar pasukan Harimau Selatan itu selepas ini.
Bakat Haqimi berjaya digilap dan dicungkil Bojan Hodak. — Facebook/ KL City
1. Haqimi Azim Rosli (KL City FC)
Haqimi mendapat tempat di hati Ketua Jurulatih Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak apabila diturunkan pada hampir kesemua perlawanan KL City musim ini sekali gus tampil dalam 215 minit permainan setakat ini.
Pemain berusia 19 tahun itu terkenal dengan aksi lincahnya yang tidak mensia-siakan peluang diberi untuk membantu pasukan meraih kemenangan demi kemenangan serta keupayaannya memecah kebuntuan pada saat-saat akhir.
Jika diberi lebih peluang dalam minit permainan, bakat Haqimi pasti boleh diasah lagi sekali gus berpotensi untuk tampil setanding dengan pemain-pemain muda JDT seperti Arif Aiman Hanapi.
Fayadh merupakan permata buat pasukan Sang Kenari.— Facebook/ KDA FC
2. Fayadh Zulkifli (Kedah Darul Aman FC)
Biarpun dikatakan masih belum 'cukup' layak untuk menyarung jersi Harimau Malaya, tiada siapa mampu menyangkal potensi terpendam dalam diri Fayadh Zulkifli yang masih boleh dicungkil jika berada di dalam persekitaran yang betul.
'Ubi muda' Kedah itu mempamerkan persembahan positif pada musim ini setelah meledak 10 gol secara keseluruhan dalam semua aksinya bersama skuad Sang Kenari musim ini.
Kehadiran Fayadh dilihat calon sesuai menggantikan tempat pemain sayap JDT, Akhyar Rashid yang berkemungkinan akan berpindah ke kelab lain setelah kontraknya tamat pada hujung musim ini.
Kogi membuatkan pemain JDT terpegun pada aksi Liga Super apabila berjaya mengikat skuad tersebut. — Facebook/ FAM
3. Kogileswaran Raj (PJ City FC)
Pastinya kehadiran Kogileswaran atau lebih mesra dengan panggilan Kogi masih lagi segar di memori pemain-pemain JDT setelah dia berjaya membuatkan mereka terpegun dalam aksi Liga Super antara JDT dan PJ City yang seri 2-2 pada 15 September lalu.
Pemain berusia 24 tahun tersebut berjaya mengajar pasukan gergasi Liga Super itu agar 'rendah diri' setelah membantu pasukannya mengikat pasukan Harimau Selatan dengan menyumbangkan satu gol buat skuadnya.
Kehadiran kogi dalam skuad JDT kelak semestinya secara tidak langsung mampu mengisi kekosongan dalam sistem penggiliran sedia ada pemain JDT.
Muhammad Safwan boleh beraksi di pelbagai posisi. — Makan Bola
4. Muhammad Safwan Mazlan (Sukma TFC)
Muhammad Safwan Mazlan dilihat cukup bersinar pada sepanjang kempen Sukan Malaysia (Sukma) 2022 setelah membantu pasukan Terengganu membawa pulang pingat emas acara sukan bola sepak temasya tersebut.
Pemain berketinggian 1.80 meter itu boleh beraksi di posisi pertahanan kiri, kanan dan tengah juga berpengalaman di pentas lebih tinggi setelah membuat penampilan bersama skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan.
Kelebihan ini mampu dimanfaatkan oleh JDT untuk mengisi setiap posisi tengah seperti tengah bertahan dan menyerang.
Danial berjaya memimpin pasukan ke final Sukma 2022. — Bernama
5. Mohd. Danial Irfan Mohd Nadzri (Sukma Pulau Pinang)
Bakat Mohd. Daniel Irfan Mohd Nadzri terserlah apabila dia berjaya membawa pasukan Sukma Pulau Pinang ke pentas final biarpun tidak diletakkan sebagai pasukan pilihan temasya tersebut.
Jaringan yang disumbangkan pemain 21 tahun tersebut sepanjang kempen Sukma membantu pasukan mereka juga mendapat 'penghormatan' dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.
Tidak hairanlah, pemain Piala Presiden Pulau Pinang itu disifatkan calon terbaik prospek masa depan JDT sekiranya diserapkan ke dalam skuad tersebut selepas ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram