'Boleh percaya ke? Entah-entah esok lusa Atiq sampai JDT naik limo'


  • Podium
  • Jumaat, 30 Sep 2022

Selepas mempamerkan aksi cemerlang sepanjang Sukma edisi ke-20, JDT dikatakan sedang merisik Atiq. — Facebook/TFC

PENAFIAN Johor Darul Takzim (JDT) berhubung rumour perpindahan ubi muda skuad Penyu, Muhammad Muslihuddin Atiq Mat Zaid ke kelab gergasi itu tidak cukup untuk menyakinkan penyokong bola sepak tempatan.

Kenyataan yang dibuat oleh Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards pada Jumaat diibaratkan hanya mengulang skrip sama ketika penafian serupa dibuat berhubung rumour perpindahan Akhyar Rashid pada akhir musim 2018.

Pemain prolifik berusia 23 tahun itu memulakan karier bola sepak dengan skuad remaja Kedah Darul Aman (KDA FC) dan naik pangkat ke skuad senior sebelum berhijrah ke JDT bagi musim 2019.

Selain Akhyar, seorang lagi pemain, Azrif Nasrulhaq pernah terbabit dalam perpindahan kontroversi pada awal 2016 selepas penyertaannya ke Harimau Selatan turut dinafikan sebelum ia akhirnya menjadi kenyataan.

tamotaja.transformed

Ketika itu, Bekas Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Kapten Mohd Fahmy Yahya pada 19 Januari 2016 berkata, JDT tidak lagi bercadang untuk menandatangani pemain pertahanan Selangor tersebut.

Ini selepas pencari bakat kelab tidak menyelidik dengan tepat status pemain terbabit yang masih terikat dengan pasukan Selangor.

Bagaimanapun, perpindahan bekas pemain Harimau Muda itu direalisasikan tujuh bulan kemudian, selepas satu persetujuan antara PBNJ dan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) tercapai.

Berdasarkan situasi berkenaan, tidak hairanlah jika ada sebilangan penyokong JDT sendiri yang berasakan ada kemungkinan perpindahan Atiq ke JDT tetap akan berlaku di sebalik penafian tersebut.

jdt mat yat

Tangkap layar berita penafian Edwards berhubung perpindahan Akhyar pada 2019. — Twitter

Penyokong JDT, Nouna meninggalkan komen di Facebook Johor Southern Tigers yang berbunyi, "Akhyar dulu macam ni juga, Azrif pun macam ni juga. Last-last kat tanah hujung."

Kasawari Kawasaki pula menulis, "Azrif dahulu beginilah kenyataannya. Tak ambil...tak ambil juga. Susah nak percaya 100 peratus walaupun dari mulut pengurusan JDT sekali pun."

"Esok-esok (Atiq) sampai naik limo," tambah Muhammad Azrul.

Rumour mengenai perpindahan pemain sayap TFC II itu didedahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Bagaimanapun, keputusan itu belum dimuktamadkan lagi oleh Muslihuddin Atiq berikutan dia masih mempunyai kontrak bersama Terengganu sehingga November ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram