NAMA pemain import pertahanan Kuala Lumpur City FC (KL City), Giancarlo Gallifuoco, tiba-tiba menjadi bualan penyokong bola sepak apabila dia berjaya membantu pasukan The City Boys mara ke pusingan akhir inter-zonal Piala AFC 2022.
Kekebalan Gallifuoco di atas padang jelas sekali banyak membantu benteng pertahanan pasukan KL City apabila sering menampilkan aksi cemerlang di saingan domestik dan juga pentas antarabangsa.
Pemain kacukan Australia-Itali ini turut pernah membantu pasukannya menjulang Piala Malaysia 2021 apabila berjaya menewaskan Johor Darul Takzim (JDT) di pentas akhir kejohanan berprestij tersebut.
Tangkap layar perbualan antara penyokong dan Gallifuoco di Instagram.
Baru-baru ini, Gallifuoco menyatakan hasrat untuk menyarung jersi Harimau Malaya menerusi jawapan pertanyaan yang diberikan oleh salah seorang penyokong di Instagram.
"Giancarlo Gallifuoco tolong bermain untuk Malaysia".
Jawapan pemain pertahanan itu terhadap pertanyaan tersebut adalah 'Itu impian saya'.
Gallifuoco pernah bermain di Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika mewakili Swansea City. — Agensi
Pemain berusia 28 tahun itu memulakan perjalanan kariernya dalam Liga Malaysia dengan menyertai KL City pada musim lalu.
Ketika bergelar pemain muda, Gallifuoco banyak menghabiskan karier bola sepaknya di Eropah apabila pernah mewakili pasukan Swansea City, Torquay United, Dover Athletic dan FC Rieti sebelum pulang semula ke negara kelahirannya.
Pemain berketinggian 1.87 meter ini juga pernah berlatih bersama bintang bola sepak dunia seperti Harry Kane, Adebayor, Luka Modric, Kyle Walker dan Gareth Bale ketika bergelar pemain remaja akademi Tottenham Hotspur.
Selepas hampir tujuh tahun berkelana di Eropah, Gallifuoco menyertai beberapa pasukan di Australia sebelum menyertai KL City yang mana ketika ini di bawah kendalian ketua jurulatih, Bojan Hodak.
Gallifuoco pernah berlatih bersama bintang bola sepak dunia seperti Harry Kane, Adebayor, Luka Modric, Kyle Walker dan Gareth Bale. — Agensi
Pemain itu pernah beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) bersama Melbourne Victory pada 2016 dan 2020.
Gallifuoco merupakan antara tonggak penting KL City apabila gandingannya bersama Irfan Zakaria menyaksikan pasukan itu muncul pasukan ketiga terbaik bersama Penang yang kurang dibolosi iaitu 14 gol selepas JDT dan Kedah Darul Aman FC pada musim lalu.
Namun jika benar Gallifuoco ingin mewakili skuad kebangsaan, dia sekurang-kurangnya perlu menetap dan bermain di Liga Malaysia sehingga 2025 yang mana ketika itu usianya sudah memasuki 31 tahun. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram