PASUKAN Sabah bakal menghadapi misi sukar dalam pertemuan menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu, pada Sabtu.
Skuad Sang Badak tidak ada pilihan lain kecuali bertungkus lumus meraih tiga mata berharga sekiranya mahu mengekalkan status sebagai pasukan kedua terbaik Liga Super musim ini.
Jika mereka tewas di bumi Darul Iman, kedudukan mereka berpotensi untuk dirampas oleh Negeri Sembilan FC yang hanya kekurangan satu mata di belakang skuad dari Borneo itu.
Setakat ini, masing-masing telah membuat 18 penampilan dalam saingan liga, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee (DOKS) mengumpul 36 mata manakala pasukan dipimpin K. Devan pula dengan 35 mata.
Tidak mahu pasukannya terus keciciran mata, Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mahu anak-anak buahnya untuk mempamerkan aksi terbaik dalam pertemuan bersama skuad Penyu nanti.
K. Devan mahu skuadnya berusaha meraih mata untuk pintas kedudukan Sabah FC. — Facebook/ NSFC
Kim Swee berkata, tempoh rehat yang lama dapat memberi peluang untuk The Rhinos memperbaiki segala kelemahan yang ada.
Di luar padang, penyokong rasa tidak senang duduk dengan situasi di hujung tanduk pasukan kesayangan mereka dan berharap segala usaha yang telah dilakukan pemain-pemain Sabah tidak lebur pada saat-saat akhir.
Penyokong Sabah FC, Matleh Sinin menyuarakan kerisauannya dengan keadaan Sabah, terutama apabila skuad itu memiliki masalah pada bahagian jenteranya.
"Pada awalnya Sabah FC dalam landasan betul. Masuk sahaja Embalo macam kucar kacir sudah. Bahagian serangan sangat lemah. Apa-apapun, harap satu pengajaran bagi Sabah FC," katanya.
Beliki Blacky menambah: "Kalau kalah ketika lawan Terengganu, pasukan Sabah FC berpotensi untuk turun tangga ketiga liga. (Kalau terus kalah) Silap-silap boleh pergi tangga kelima bila habis liga nanti."
Wadhumaar Jamaail menyambung: "Kalau Negeri Sembilan menang dan kita kalah, baru dipintas. Tapi Negeri Sembilan tak mungkin menang sebab lawan mereka JDT," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram