Gemilang 2022 buat JDT, sambar selagi ada piala


  • Podium
  • Selasa, 06 Sep 2022

Skuad utama JDT kini unggul sebagai pendahulu Liga Super. — Facebook/Johor Southern Tigers

PENGUASAAN Johor Darul Takzim (JDT) dalam liga bola sepak tempatan sebenarnya tidak boleh dinafikan.

Bermula dari Liga Super menerusi pasukan utama, JDT berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

Dalam Liga Perdana, JDT II juga menjadi penghulu dan dijangka bergelar juara liga dengan baki satu perlawanan sahaja lagi.

Ubi muda JDT III juga sudah mencatatkan kejayaan setelah bergelar juara Piala Presiden. Kini, apa yang tinggal hanyalah untuk JDT bergelar juara Piala FA dan Piala Malaysia.

302761005_2378673492295936_6794672619792842213_n

Berbaki satu lagi perlawanan sebelum JDT II bergelar juara Piala Perdana. — Facebook/Johor Southern Tigers

Apa yang berlaku ini menurut seorang pengikut bola sepak tempatan, Nasih Munzir adalah kejayaan yang sudah dirancang sejak dahulu lagi.

"Sejak tahun 2014, akademi JDT sudah menghasilkan pemain yang berjaya mencapai kejayaan dalam Piala Presiden dan Liga Perdana.

"Apa yang dikatakan oleh pemilik JDT, Tengku Mahkota Johor mengenai peranan JDT untuk dikenali di peringkat Asia sebagai cara untuk mendapatkan dana daripada penaja sudah benar-benar terbukti.

"Segala kewangan yang dimiliki menerusi JDT semuanya digunakan untuk pasukan sehinggalah ke skuad JDT 5," katanya.

jdt111_1661752979

Skuad JDT III berjaya menjadi juara Piala Presiden baru-baru ini. — Facebook/Johor Southern Tigers

Jelasnya, perancangan yang baik, pengurusan yang profesional serta kemudahan yang sempurna mampu menghasilkan pemain yang berkualiti.

Malah, segala cacian penyokong mengenai kegagalan ubi muda JDT sudah terbukti kini menerusi kejayaan yang dicapai.

"Apa yang menjadi cabaran besar kelab di Malaysia sebenarnya bukan JDT sahaja, sebaliknya juga skuad muda JDT yang dahagakan apa sahaja piala di dalam dan luar negara," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram