Siapa sangka pelajar tercorot raih Anugerah Pereka Muda Asia terbang ke Harvard 


Evva memenangi Anugerah Emas kategori reka bentuk dalaman Anugerah Pereka Muda Asia 2020/2021.

EVVA Lim Yee Fah tidak dapat menyorokkan rasa gembira dan teruja apabila dirinya dinobatkan sebagai pereka muda terbaik Anugerah Pereka Muda Asia (AYDA) bagi tahun 2020/2021.

Kejayaan yang diraih menerusi kategori reka bentuk dalaman itu melayakkan Evva untuk menjalani program Eksplorasi Reka Bentuk selama tiga minggu di Harvard University's Graduate School of Design, Massachusetts, Amerika Syarikat.

Graduan Taylor's University itu mengakui cukup terharu dan berbangga kerana realitinya perjalanan sebagai pelajar jurusan seni hiasan dalaman tidak bermula dengan baik.

"Saya bukanlah pelajar terbaik dalam kelas, saya pernah skor gred 1.76 ketika semester pertama. Ketika di tahun keempat, seorang pensyarah Encik Muzammil banyak beri galakan dan dorongan kepada saya.

"Dia beri tunjuk ajar untuk saya menterjemahkan idea-idea dan emosi saya ke dalam bentuk seni selain menggalakkan saya sertai pertandingan ini," katanya kepada Majoriti.

Menceritakan mengenai projek bertajuk Wo.Men Women Empowerment Centre yang memenangi Anugerah Emas kategori reka bentuk dalaman, Evva berkata, dia memperoleh inspirasi daripada kisah-kisah keganasan rumah tangga yang sering dipaparkan di dada akhbar ketika pandemik Covid-19 melanda dunia pada 2020.

WhatsApp Image 2022-08-23 at 13.00.48

Evva (tengah) bergambar bersama peserta program Eksplorasi Reka Bentuk di Universiti Harvard. — Ihsan Evva

Gadis berusia 25 itu yang juga anak kedua daripada tiga beradik itu memberitahu, perkataan wo-men yang dipilih untuk projek berkenaan bermaksud 'kami' atau 'us' dalam bahasa Mandarin.

Menurut Evva, projek itu sangat dekat dengan dirinya kerana salah seorang ahli keluarganya juga menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

"Ketika membesar, ibu saya selalu bercerita bagaimana nenek sering dipukul oleh datuk saya. Pendedahan ini memberi saya kesedaran tentang isu rumah tangga yang membelenggu ramai golongan wanita.

"Dari situ, saya sedar golongan wanita perlu ada pendidikan supaya mereka dapat berdikari dari segi kewangan dan kerjaya.

Pada masa sama, saya turut menyedari tidak ramai wanita bernasib baik dan mendapat peluang sama," katanya.

Ujar Evva lagi, dia menjadikan lokasi sebuah bangunan di Petaling Street, Kuala Lumpur untuk mencipta dan mempersembahkan struktur model Wo.Men Women Empowerment Centre yang mmfokuskan aspek perasaan dan emosi.

"Model 3D ini meliputi ruang bangunan tiga tingkat yang menempatkan pusat perlindungan dan perniagaan untuk golongan wanita yang mendiaminya.

"Ia sepatutnya mewujudkan persekitaran yang selamat buat mereka selain memberi peluang menjana pendapatan sendiri melalui ruang perniagaan di tingkat bawah," katanya.

Evva yang kini mengusahakan syarikat reka bentuk hiasan dalaman, Hwa Studios di Kuala Lumpur berharap model Wo.Men Women Empowerment Centre yang direka bentuk selama tiga bulan itu dapat direalisasikan suatu hari nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram