Penduduk ketakutan, lelaki tak luka dilibas pedang samurai, syak amal ilmu kebal


  • Benua
  • Isnin, 05 Sep 2022

Tangkap layar menunjukkan dua orang lelaki bersenjata tajam saling melibas dan memukul satu sama lain.

PERGADUHAN ganas antara dua lelaki mengundang perhatian netizen apabila mangsa dilihat kebal tanpa sebarang kecederaan meskipun dipukul dan dilibas senjata tajam.

Kejadian itu yang tular di laman Instagram difahamkan berlaku di Kota Palu, Sulawesi Tengah Indonesia.

Situasi itu terjadi sebaik penunggang motosikal tersebut ditahan seorang lelaki dan kemudiannya dilibas beberapa kali dengan pedang samurai tanpa belas kasihan.

Mangsa yang terkejut lantas bangkit dan segera mengelak daripada dicederakan lelaki ganas tersebut.

Enggan berdiam diri, mangsa terus menerpa ke arah lawan dan mencapai sebatang kayu sebagai senjata mempertahankan diri.

Saling membalas satu sama lain, pergaduhan itu menimbulkan ketakutan dalam kalangan penduduk yang berada di situ apabila rata-ratanya menjerit meminta pertolongan.

Menjengah ke ruangan komen, kejadian itu mengundang pelbagai reaksi daripada warganet.

Bambang_aswad berkata, mangsa pasti mengamalkan ilmu kebal kerana tidak mengalami sebarang luka ketika dilibas samurai.

"Saya sangat pelik, meskipun dilibas samurai tapi dia langsung tidak cedera ataupun berdarah, dia pasti ada mengamalkan ilmu kebal," katanya.

"Sangat menakutkan, kalau terkena pada kaki ataupun badan pastinya boleh patah ataupun cedera teruk dan mungkin mengalami kecacatan," kata adesrawk_73.

"Kalau betul berani berlawan la tanpa senjata, pakai samurai hanya untuk si penakut," tambah andriboy78.

Pergaduhan itu akhirnya terhenti apabila seorang penduduk yang dikatakan ustaz di surau berhampiran bertindak meleraikan pertelingkahan tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram