Daddy pernah hidap ulser perut tahun lalu — Nooryana


  • Primer
  • Isnin, 05 Sep 2022

Tangkap layar status InstaStory yang dimuat naik anak Najib di media sosialnya.

NOORYANA Najwa mengesahkan bapanya, Datuk Seri Najib Tun Razak mengalami sakit perut ketika menjalani hukuman di Penjara Kajang, Selangor.

Menerusi hantaran InstaStory pada Isnin, Nooryana memberitahu bahawa bapanya itu sebelum ini sering mengalami masalah perut berulang.

"Daddy (Najib) sangat terdedah kepada ulser perut yang boleh berlaku di bawah tekanan atau disebabkan gastrik.

"Kali terakhir daddy kena ulser perut tahun lalu sehingga pengsan akibat pendarahan dalaman dan terpaksa dimasukkan ke hospital selama seminggu untuk rawatan susulan," katanya.

Menurutnya, Najib seorang yang susah untuk mengadu mengenai kesakitan yang dialaminya kerana tidak mahu menyusahkan orang lain sehingga sanggup merisikokan diri sendiri.

"Terima kasih sekali lagi kepada semua yang mendoakan kesihatan dan kekuatan daddy.

"Kami sangat berharap daddy mendapat pemeriksaan dan rawatan dengan kerap jika diperlukan oleh pihak penjara dan hospital," katanya.

Nooryana dan keluarga berharap Najib mendapat rawatan sepenuhnya bagi memastikan tahap kesihatan bapanya itu kembali pulih.

"Tolong jagakan daddy kami dan Bossku. Dia amat bermakna buat kami.

"Semoga ALLAH merahmati kami semua," katanya.

Pada Ahad, Najib yang kini menjalani hukuman penjara selama 12 tahun dilaporkan dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur.

Perkara itu disahkan sendiri oleh pegawai beliau yang turut memaklumkan bahawa keadaan bekas Presiden Umno itu sebagai stabil dan sedang melalui kesemua siasatan perubatan diperlukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram