SEORANG pendaki bebas memanjat bangunan The Shard di London, United kingdom tanpa menggunakan tali keselamatan.
Dikenali sebagai Daredevil Adam Lockwood, 21, dia turut sempat merakam gambar swafoto di puncak pencakar langit setinggi 310 meter itu sekitar pukul 5 pagi.
Tindakannya itu sekali gus menyebabkan pasukan kecemasan bergegas ke tempat kejadian sekitar 5.48 pagi setelah mendapat laporan orang awam di The Shard.
Pasukan Bomba London dan ambulans turut berkejar ke lokasi sebagai usaha untuk menyelamat dan menghalang Lockwood daripada terus berada di puncak bangunan.
Dalam kejadian itu Lockwood sempat berkongsikan gambar tanpa memakai baju dan kasut di atas bangunan selain merakam proses memanjat bangunan tersebut dengan menggunakan kamera khas.
Anggota penyelamat memerhatikan Lockwood di kawasan perkarangan bangunan.
Pendaki bebas itu juga dikhabarkan enggan menggunakan sebarang peralatan keselamatan dan hanya bergantung kepada cengkaman dan kekuatan badan bagi mengelaknya jatuh.
“Saya berasa puas ketika berada di atas bangunan tanpa perlu bergantung kepada sebarang tali, otak saya tenang dan damai.
“Memanjat bangunan tanpa tali bukan satu perkara mendebarkan kerana yakin 99 peratus saya mampu memanjat bangunan tanpa tali. Sejujurnya saya sangat suka dan menikmati proses itu dengan gembira,” katanya.
Rakaman menunjukkan Lockwood sedang memanjat bangunan tanpa tali keselamatan.
Ternyata Lockwood bukanlah individu pertama berbuat demikian kerana sebelum ini seorang remaja, George King Thompson melakukan perkara sama pada 2019.
Mengambil masa sekitar 45 minit untuk sampai ke puncak, Thompson kemudian dijatuhkan hukuman penjara enam bulan di institusi pesalah muda.
Tidak hanya Thompson, Lockwood turut mendapat perintah injuksi anti-sosial oleh Majlis Bandaraya Manchester selama tiga tahun pada Julai 2019.
Perintah itu tidak diendahkan dan dia tetap memanjat bangunan dan kren tapak binaan di England serta Wales. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram