Pilu, nenek tergamak 'kurung' cucu 5 tahun, rampas hak ibu kandung


  • Benua
  • Isnin, 05 Sep 2022

Tangkap layar rakaman tular seorang wanita yang dipisahkan dengan anak kandung sendiri oleh ibu mentuanya. — TikTok

KISAH seorang ibu mentua yang sanggup memisahkan menantu dengan anak kandungnya tular di media sosial dan meruntun hati netizen.

Menerusi rakaman tular, wanita bernama Juitha Simamora itu dilihat menjenguk ke dalam sebuah rumah untuk mencari anak lelakinya yang dikurung di dalam kediaman tersebut.

Dia kemudian dilihat memanggil budak itu dengan menghulurkan makanan seperti susu kotak, coklat dan gula-gula selain barang mainan.

Budak itu yang sedang menonton televisyen segera berlari ke arah jendela untuk menemui ibunya.

"Sayang anakku, jangan sakit ya, nak," ucap wanita itu beberapa kali sambil mengusap kepala kanak-kanak tersebut yang leka membelek mainan baharu.

Berdasarkan laporan Tribun-medan.com, kejadian tersebut dipercayai berlaku di Desa Sibadihon, Kecamatan Bonatua Lunasi, Kabupaten Toba, Indonesia.

Rakaman tular seorang wanita menangis selepas dipisahkan dengan anak kandung sendiri oleh ibu mentuanya. — TikTok

Ibu mentua wanita tersebut dipercayai merampas hak penjagaan anak Juitha yang berusia lima tahun daripada dirinya.

Malah dalam rakaman tular itu kelihatan dia memarahi Juitha dan mencemuhnya dengan kata-kata makian. Dia juga segera melarikan budak lelaki itu ke dalam rumah dan menutup pintu agar Juitha tidak dapat berjumpa anaknya.

Daripada pertelingkahan mereka dapat difahamkan bahawa Juitha dan suaminya bergaduh kerana lelaki itu tidak memberi nafkah kepada keluarga.

Namun, ibu mentua Juitha membela anaknya dan meletakkan kesalahan terhadap wanita malang itu.

"Kasihan tengok ibu nak jumpa anak tapi tak dapat, jom bantu wanita bernama Juitha Simamora ini, sama-sama kita kongsikan video ini supaya Persatuan Batak Bersatu dapat menyatukan dia dengan anaknya," kata seorang pengguna Facebook Triliensi.

Sejak dikongsikan di laman sosial itu, video tersebut sudah mendapat lebih 6,000 tontonan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram