Tak dapat duit beli dadah, anak tak kenang budi sanggup tampar ibu kandung


  • Benua
  • Isnin, 05 Sep 2022

Tangkap layar remaja lelaki menampar ibunya setelah tidak diberi wang.

GARA-GARA tidak menerima wang untuk membeli dadah, seorang remaja lelaki bertindak biadab apabila sanggup mencederakan warga emas di Kerala, India.

Menerusi sebuah video tular, remaja tersebut dilihat menjerit dan bertengkar bersama seorang wanita warga emas yang dipercayai ibu kandungnya.

Berang dengan pertengkaran itu, remaja tersebut kemudian dilihat menampar wanita tua yang sedang duduk di atas simen sebelum menghempas tingkap rumah mereka secara kuat.

Wanita itu cuba memukul semula remaja tersebut menggunakan bekas penadah air, namun tidak mengenai badan suspek.

Pada masa sama, seorang jiran mereka yang berada di lokasi kejadian bertindak menenangkan mangsa, selain memarahi perbuatan biadab anak muda itu.

Bertambah berang dengan tindakan jiran yang cuba campur tangan itu, remaja tersebut dilihat membaling selipar ke arah kenalan ibunya itu.

Pertengkaran remaja tersebut dan ibunya masih berlarutan, meskipun jiran mereka dilihat berlalu pergi dari kediaman mereka.

Sebelum ini, remaja tersebut dipercayai berulang kali menuntut wang daripada ahli keluarganya dengan cara kasar sambil menjerit dan mengamuk di tempat awam.

Difahamkan, video tersebut berlaku pada awal Julai lalu, namun ia menjadi tular di laman Twitter sejak Sabtu.

Pengaruh dadah kian meningkat dalam kalangan penduduk Kerala, sekali gus menyebabkan tingkah laku individu terjebak dengan najis itu semakin membimbangkan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram