KEPUTUSAN dibuat pengadil Zulkarnain Zakaria memberikan sepakan penalti kepada Johor Darul Takzim (JDT), pada aksi Liga Super menentang Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya, Selangor pada Sabtu disifatkan sebagai tepat.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman berkata, susulan penelitian dijalankan Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil badan induk itu mendapati, memang terdapat kesalahan berlaku.
Noor Azman mengulas mengenai insiden tersebut yang mengundang pertikaian bahawa JDT tidak sepatutnya diberikan sepakan penalti tersebut, kerana tiada sentuhan dibuat pemain pertahanan Selangor, Yazan Al-Arab ke atas pemain JDT, Arif Aiman Hanapi.
Sebahagian daripada aksi perlawanan antara JDT dan Selangor FC. — Bernama
"Selepas dibuat penelitian dan analisis menerusi rakaman video oleh Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil, memang terdapat kesalahan dilakukan pemain Selangor tersebut, iaitu kekasaran dan sentuhan terhadap pemain lawan.
"Berdasarkan itu, Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil telah membuat rumusan bahawa tindakan pengadil memberikan sepakan penalti tersebut adalah satu keputusan yang tepat," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu, berhubung insiden di luar stadium selepas perlawanan yang tular di media sosial apabila terdapat individu dari Selangor tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan pada perlawanan dikendali Zulkarnain, Noor Azman berkata perkara itu sedang diteliti Unit Undang-undang FAM.
"Bagi insiden yang berlaku di luar stadium selepas perlawanan itu, penelitian lanjut sama ada ia perlu dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM atau sebaliknya akan dibuat,” katanya.
Pada perlawanan tersebut JDT terikat 1-1 dengan Selangor. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram