KELAB PSM Makassar dari Indonesia mula melancarkan perang psikologi apabila melakukan perubahan taktikal termasuk kemungkinan mempertaruhkan khidmat penjaga gawang bagi mengisi posisi pertahanan tengah pada final Piala AFC 2022 Zon Asean menentang KL City FC di Cheras, Kuala Lumpur pada Rabu.
Pengendalinya, Bernardo Tavares berkata, ketiadaan dua tonggak menjejaskan persiapan pasukan dan ia memberi tamparan hebat untuk beliau mencongak perancangan terbaik.
Katanya, situasi sukar itu berlaku akibat hukuman kad merah ke atas dua pemain PSM Makassar yang memaksa beliau mencatur strategi lain yang lebih berkesan.
"Kami kehilangan dua pemain nadi, saya perlu fikirkan penyelesaiannya," katanya.
Tavares turut memberi jawapan secara spontan dengan membayangkan kemungkinan untuk membariskan penjaga gol sebagai pertahanan tengah.
"Saya mungkin perlu meletakkan penjaga gol sebagai pemain pertahanan," ujarnya sambil berseloroh.
Jurulatih berusia 42 tahun itu juga mengakui, pasukannya tidak berada dalam keadaan baik, namun enggan menjadikannya sebagai alasan.
Ketika ini, PSM Makassar berada dalam persediaan yang baik selepas mengharungi lima perlawanan Liga 1 Indonesia apabila mencatatkan empat kemenangan dan satu seri.
Skuad bimbingan jurulatih kelahiran Portugal itu berada di tangga kedua liga dan sudah pasti bakal menghadirkan cabaran sengit ke atas KL City di pentas final. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram