YouTuber terkenal dilanggar lari, tagih video 'dashcam' untuk bantu tegak keadilan


  • Tular
  • Selasa, 23 Ogos 2022

Tangkap layar menunjukkan kecederaan yang dialami oleh Syedot selepas dilanggar kenderaan jenis 4WD Ford Ranger.

TULAR di media sosial apabila seorang YouTuber terkenal, Syedot ASMR memuat naik video penjelasan kes kemalangan yang membabitkan dirinya pada minggu lalu di Kuala Lumpur.

Mengalami kecederaan teruk di bahagian muka, badan dan kaki, Syedot atau nama sebenarnya, Muhammad Roshede Basri, 31, difahamkan telah dilanggar sebuah kenderaan jenis 4WD Ford Ranger di Lebuh Raya Damansara Puchong berhampiran Menara KLH, Kuala Lumpur.

Dalam kejadian tersebut, Syedot yang menaiki motorsikal, dirempuh dari arah belakang dan kemudiannya tercampak ke atas permukaan tar jalan raya sehingga mengakibatkan luka jahitan di bahagian lutut serta kaki.

Susulan kejadian tersebut, dia memuat naik video di laman sosial media peribadinya dengan tujuan mendapatkan bukti rakaman video daripada orang awam yang menyaksikan kejadian tersebut.

Jelasnya kepada Majoriti, hanya video rakaman papan pemuka atau dashcam yang dapat membantunya untuk ,menegakkan keadilan dalam kes tersebut yang difahamkan akan dibawa ke mahkamah.

Katanya, meskipun telah melaporkan kejadian itu kepada pihak polis, namun suspek yang melanggarnya dikatakan memutar belit cerita ketika memberi keterangan di balai polis.

"Pemandu itu mendakwa kononnya saya menunggang motor secara berbahaya.

Tangkap layar menunjukkan luka dalaman di bahagian lutut kaki yang memerlukan jahitan di hospital.

"Suspek sebelum itu cuba melarikan diri selepas melanggar saya dan mujur ada beberapa orang awam yang mengejar dan mengheretnya semula ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di balai polis, saya pula dipersalahkan dan kenyataan daripada suspek mengatakan saya yang melanggarnya.

"Walhal kalau fikir logik saya tercampak ke depan dan kesan langgar juga datangnya dari bahagian belakang motosikal, macam mana saya pula yang dipersalahkan," katanya.

Ditanya soal kesihatan semasa, Syedot berkata, lukanya masih belum sembuh dan sedang berehat selepas menerima beberapa jahitan di bahagian tercedera.

Tambahnya, beliau menyarankan agar pihak kerajaan mewajibkan setiap kenderaan di Malaysia untuk memiliki dashcam bagi mengurangkan risiko penipuan sekiranya terbabit dalam kemalangan.

"Pendapat saya kerajaan perlu menentapkan undang-undang baharu dengan mewajibkan setiap kenderaan untuk memiliki kamera dashcam supaya tiada lagi kes penipuan boleh berlaku.

"Hanya rakaman video sahaja yang mampu dijadikan bukti untuk mangsa membuat laporan saman dan sebagainya," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram