Wanita selamba curi motor di pusat pameran tapi 'kantoi' akibat masuk parit


  • Benua
  • Selasa, 23 Ogos 2022

Tangkap layar menunjukkan suspek curi motosikal ditangkap pihak polis selepas terlibat dalam kemalangan.

HASRAT seorang wanita cuba mencuri sebuah motosikal baharu di kedai motor berakhir dengan tragis apabila suspek terlibat dalam kemalangan tidak lama selepas melarikan kenderaan itu.

Bertempat di Desa Batu Gajah, Pasir Penyu Riau Indonesia, kejadian itu sempat dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) di bilik pameran tersebut yang memaparkan betapa pantasnya kecurian itu berlaku.

Menurut rakaman, pencuri dengan tenang memasuki ke bilik pameran lalu menghidupkan enjin salah sebuah motosikal di situ dan menunggangnya dengan laju.

Namun, wanita itu tidak sempat untuk lari lebih jauh apabila terlibat dalam kemalangan dan terbabas ke dalam parit.

Mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan, orang ramai bertindak merampas motosikal tersebut lalu melaporkan kejadian itu kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Tangkap layar menunjukkan Tika, 32 tahun sedang disoal siasat oleh anggota polis yang bertugas.

Difahamkan, wanita berkenaan yang nama sebenarnya, Tika, 32 tahun merupakan seorang pesakit mental.

Berasal daripada keluarga yang serba kekurangan, ibu, abang dan kakaknya juga mengalami masalah mental dan sering menimbulkan kekacauan di kampung.

Selepas tertangkap, Tika kemudiannya dibawa ke Hospital Mental Tampan (RSJ) di Bandaraya Pekan Baru, Riau untuk rawatan lanjut tetapi tidak dapat dipastikan sama ada dia ditahan polis atau dilepaskan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram